Selasa, 14 March 2017 | 3:47pm

47 kes baharu Influenza A (H3) dicatatkan di Perak

IPOH: Sebanyak 47 kes baharu Influenza A (H3) dicatatkan di Perak semalam dengan dua kluster atau sekolah baharu direkodkan yang pelajarnya mengalami kes itu.

Pertambahan kes baharu menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 512 membabitkan lapan kluster.

Dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah (SMKASAS) di Seri Iskandar dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Batang Padang (SMTDR) di Tapah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri, daripada 47 kes baharu yang dilaporkan, masing-masing empat kes membabitkan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) di Ipoh dan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Teluk Intan selain kes dicatatkan di dua kluster baharu iaitu 13 kes di SMKASAS dan 26 kes lagi di SMTDR Batang Padang.

Katanya, jumlah kes yang dilaporkan setakat ini membabitkan enam lagi kluster iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Jaya, Ipoh kekal tiga kes, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh (115 kes), SERATA (230 kes dengan empat kes baharu), Kolej Vokasional Slim River (13 kes), SMART Teluk Intan (87 kes termasuk empat kes baharu) dan Sekolah Izzuddin Shah Ipoh (25 kes).

SEBAHAGIAN pelajar di Sekolah Izzudin Shah yang dijangkiti Influeza A (H3) kini dikuarantin di asrama sekolah. - Foto Effendy Rashid
SEBAHAGIAN pelajar di Sekolah Izzudin Shah yang dijangkiti Influeza A (H3) kini dikuarantin di asrama sekolah. - Foto Effendy Rashid

"Sebanyak 33 kes baharu sudah diasingkan ke dalam bilik isolasi di sekolah masing-masing iaitu empat kes di SERATA, tiga di SMART dan 26 kes lagi di SMTDR Batang Padang dengan jumlah terkumpul semasa diasingkan di semua kluster adalah sebanyak 245 kes, selain itu, 75 kes semasa sudah dikeluarkan dari bilik isolasi," menurut kenyataan itu.

Terdapat satu kes baharu dimasukkan ke wad di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua kes terkumpul masih di rawat di hospital iaitu masing-masing satu kes di Hospital KPJ Rawang dan satu kes lagi di HRPB.

Menurut kenyataan itu, daripada sampel yang yang dibuat ujian pengesahan, empat sampel didapati positif untuk Influenza A (H3) manakala sembilan sampel lagi positif untuk Influenza B.

"Jabatan Kesihatan Negeri Perak sudah mengeluarkan surat kewaspadaan kepada pengamal perubatan di seluruh negeri berkenaan supaya melaporkan kejadian kluster (dua kes atau lebih dari sesuatu lokasi) baru-baru ini, walaupun penyakit ini tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit, 1988 (Akta 342)," katanya.

Berita Harian X