Khamis, 9 March 2017 | 4:24pm
HEW Chai Kee menunjukkan lukisan yang dilukis Datuk Lat khas buat mendiang isterinya,Lee Siew San. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden
HEW Chai Kee menunjukkan lukisan yang dilukis Datuk Lat khas buat mendiang isterinya,Lee Siew San. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden
KARTUNIS, Datuk Lat bersalaman dengan Hew Chai Kee ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mrs Hew di Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid
KARTUNIS, Datuk Lat bersalaman dengan Hew Chai Kee ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mrs Hew di Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid
LEE Siew San atau lebih dikenali sebagai Mrs Hew.
LEE Siew San atau lebih dikenali sebagai Mrs Hew.

Lat beri penghormatan terakhir kepada Mrs Hew

KARTUNIS, Datuk Lat. - Foto Yahya Zainuddin
KARTUNIS, Datuk Lat. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Kartunis, Datuk Lat hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bekas gurunya, Lee Siew San, 80, atau lebih dikenali sebagai Mrs Hew yang menghembuskan nafas terakhir ketika tidur di rumahnya di Taman Canning di sini, jam 1.30 pagi semalam.

Beliau atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, 65, ditemani isteri, Datin Faezah Ahmad Zanzali berkongsi kesedihan bersama suami mendiang, Hew Chai Kee, 87, dan tiga anak pasangan itu, Alvin, 53; Belinda, 52 dan Cyril, 49.

Keluarga mendiang terutama Belinda tidak dapat menahan kesedihan dengan pemergian ibunya itu.

Lat yang ditemui berkata, mendiang ketika hayatnya seorang yang tegas dan garang terutama ketika mengajar di sekolah dan wataknya diangkat sebagai Mrs Hew dalam karyanya termasuk dalam Kampung Boy.

"Mendiang sebenarnya seorang yang disayangi semua orang," katanya ketika ditemui ketika memberi penghormatan terakhir berkenaan hari ini.

Lat menggunakan watak gurunya itu menampilkan Mrs Hew dengan imej bercermin mata ala 60-an dan fesyen rambut sarang lebah sanggul tinggi dalam hasil karyanya yang dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, keluarga mendiang turut berkongsi cerita betapa mendiang seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak dan pelajarnya.

Cyril berkata, walaupun garang, ibunya seorang yang penyayang dan dirinya masih ingat pesanan ibunya iaitu "Suka kepada apa yang kita dilakukan dan lakukan apa perkara yang kita suka".

Katanya, cara ibunya mendisiplinkan mereka tiga beradik juga sama dengan apa yang dilakukan di sekolah.

"Itulah ibu saya dan perkara itu selalu saya beritahu kepada rakan. Dia mendisiplinkan kami setiap masa.

"Ibu melayan kami tiga beradik sama sahaja jika marahkan kami atau kami melakukan kesalahan. Di rumah pula ada tiga jenis rotan yang berbeza saiznya dengan paling kecil dan hujungnya diikat getah.

"Dia selalu bertanya kepada kami yang mana satu patut digunakan untuk mendisiplinkan kami," katanya.

Berita Harian X