PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat rakan sejawat dari Yaman, Abdulmalik Abdul Jalil Al-Mekhlafi, di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kunjungan hormat berkenaan menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin membincangkan bidang kerjasama dua hala Malaysia-Yaman, termasuk isu serantau dan global.
"Malaysia mengutuk serangan ke atas orang awam dan infrastruktur yang dihadapi Yaman selain menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai AS$100,000 (RM445,950) pada 2015.
"Kita menyatakan sokongan penuh negara kepada usaha Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang melanda negara terbabit.
"Ia bagi memastikan kedaulatan wilayah Republik Yaman terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehingga 1 Mac lalu, seramai 5,779 pelajar Yaman melanjutkan pelajaran di universiti awam dan swasta di negara ini manakala 300 pelajar Malaysia berada di Yaman.