Rabu, 8 March 2017 | 9:52pm

Guru Datuk Lat meninggal dunia

HEW Chai Kee menunjukkan gambar yang dilukis oleh Datuk Lat khas buat mendiang isterinya,Lee Siew San. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden
HEW Chai Kee menunjukkan gambar yang dilukis oleh Datuk Lat khas buat mendiang isterinya,Lee Siew San. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden

IPOH: Bekas guru Datuk Lat, Lee Siew San atau lebih dikenali Mrs Hew termasuk watak ditampilkan melalui kartun dan animasi kartunis terkemuka itu meninggal dunia pada usia 80 tahun di rumahnya di No 29 Jalan Bunga Telor, Taman Canning di sini hari ini.

Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, 65, menggunakan watak gurunya itu yang garang tetapi baik hati Lat menampilkan Mrs Hew dengan imej bercermin mata ala 60-an dan fesyen rambut sarang lebah sanggul tinggi dalam hasil karyanya.

Lat mengesahkan pemergian bekas gurunya itu dimaklumkan oleh suami mendiang, Hew Chai Kee, 87, kepadanya melalui telefon hari ini.

Katanya, beliau terkejut dan sedih menerima berita kematian mendiang yang juga dipanggil 'cikgu Moira' dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

MENDIANG Mrs Hew mengajar subjek seni di dalam kelas.
MENDIANG Mrs Hew mengajar subjek seni di dalam kelas.

Beliau berkata, mendiang adalah individu yang mengajar dirinya dan rakan pelajar lain dari kawasan kampung untuk membaca, menulis dan bercakap bahasa Inggeris hanya dalam tempoh dua tahun ketika mereka di darjah empat dan lima Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (English) di Jalan Pasir Putih, dekat sini, pada tahun 1962 dan 1963.

"Saya mula melukis karektor Mrs Hew pada tahun 1970an namun rupa sebenarnya bukan seperti yang saya lukis, saya lukis begitu kerana mahu tampilkan sifatnya yang garang tetapi sebenarnya lebih cantik dan seorang yang baik walaupun amat garang.

"Sebenarnya, ketika hayat mendiang juga bangga, dia ada beritahu kepada orang lain bahawa orang itu (karektor Mrs Hew) adalah dirinya dan maklumkan dilukis bekas anak muridnya.

"Ketika saya pulang (menginap) di Ipoh 20 tahun lalu, saya ada lukis rupa sebenar dia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, anak mendiang, Alvin Hew, 53, yang ditemui malam ini berkata ibunya meninggal dunia ketika tidur jam 1.30 pagi tadi.

Katanya, keluarganya memang mempunyai hubungan baik dengan Datuk Lat malah mereka berbangga kerana watak ibu mereka diangkat sebagai antara karektor dalam karya kartunis itu.

"Ibu sendiri sangat gembira wataknya dirakamkan dalam penceritaan kehidupan termasuk dalam karya 'Kampung Boy'," katanya ketika ditemui di sini.

Selain suami dan dirinya, ibunya turut meninggalkan dua lagi anak, Cyril, 49, dan Belinda, 52.

Berita Harian X