Rabu, 1 March 2017 | 5:08pm

Lawatan 3 hari Yang di-Pertuan Agong ke Melaka bermula esok

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memilih Melaka sebagai negeri pertama lawatan rasmi baginda sejak dilantik ke jawatan itu pada 13 Disember tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata lawatan tiga hari bermula esok itu dimulakan dengan Majlis Sembah Taklimat Pembangunan Negeri di Hotel Ramada Plaza di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, Seri Paduka kemudian dijadual berangkat merasmikan Sekolah Rendah Agama, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak, sebelum menyertai majlis bacaan Yasin di Masjid Kampung Hulu pada sebelah malam.

 ANTARA Persiapan terakhir yang dilakukan sempena Lawatan Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Sekolah Rendah Agama JAIM, Tanjung Minyak 2, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
ANTARA Persiapan terakhir yang dilakukan sempena Lawatan Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Sekolah Rendah Agama JAIM, Tanjung Minyak 2, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

"Pada hari Jumaat, baginda berkenan merasmikan Masjid Sultan Muhammad V di Kompleks Penjara Sungai Udang, sekali gus menunaikan solat Jumaat serta akan menyertai santapan tengah hari bersama rakyat, sebelum berangkat ke Jeti Taman Rempah untuk menyusuri Sungai Melaka.

"Pada sebelah malam pula, baginda perkenan untuk mencemar duli ke Majlis Santapan Negeri yang diadakan di Hotel Hatten, Bandar Hilir," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, hari ini.

Idris berkata, pada hari terakhir lawatan, baginda akan merasmikan Kota Al-Hasanah di Sungai Rambai, sebelum berangkat pulang ke Istana Negara.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan pelantikan 10 Orang Besar Jajahan (OBJ) yang akan bertindak sebagai pakar rujuk Seri Paduka sepanjang berada di Melaka. Mereka adalah empat bekas Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Datuk Wira Jahaya Mat, Datuk Wira Ahmad Rosli Joharie, Datuk Wira Ismail Salleh dan Datuk Wira Omar Kaseh.

"Selain itu, Datuk Mohd Zin Mansor, Datuk Jaapar Wahab, Datuk Deris Daud, Datuk Saleh Ismail, Datuk Idrus Md Jani dan Datuk Zaini Md Amin.

"OBJ juga akan bertugas pada setiap kali lawatan Sultan atau kerabat diraja ke Melaka," katanya.

Berita Harian X