Isnin, 27 Februari 2017 | 11:31am

Tun M 'harimau tua' yang wajar bersara

DATUK Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (kiri) dan Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohd Fadli Hamzah/Roslin Mat Tahir
DATUK Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (kiri) dan Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohd Fadli Hamzah/Roslin Mat Tahir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan 'harimau tua' yang sepatutnya bersara kerana sering mengeluarkan kenyataan memalukan sama ada dengan niat berbohong untuk kepentingan politik atau nyanyuk.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata realiti ketika ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak mahu lagi mempercayai kata-kata dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu.

"Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini memberi gambaran mengenai Dr Mahathir yang dulu mengatakan pembangkang adalah musuh tetapi kini dia boleh duduk semeja dengan mereka dan menjadi rakan karib.

"Dr Mahathir turut menjulang media Barat dengan mengatakan laporan mereka kini semua fakta, sedangkan dulu ia dikatakan sekadar mereka cerita.

"Kritikan Melayu mudah lupa juga seakan memakan diri apabila Dr Mahathir seolah-olah menjadi pelupa atau mungkin nyanyuk sedikit (kerana usia tua)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Sariffuddin berkata, sehingga kini pelbagai dakwaan dangkal dilemparkan Dr Mahathir, termasuk cubaan menjatuhkan imej negara demi kepentingan peribadi dengan mengatakan Malaysia adalah antara 10 negara paling korup di dunia.

Bagaimanapun, katanya, hakikat menunjukkan Malaysia adalah negara ke-55 yang paling tidak korup di dunia seperti dipaparkan dalam senarai terkini Transparency International.

Beliau berkata, ia sekali gus menimbulkan persoalan Dr Mahathir sekadar berbohong atau tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan.

"Dulu ada 'harimau Asia' bernama Dr Mahathir yang digeruni semua orang, malah beliau sendiri mengakui dirinya seorang diktator sepanjang memegang tampuk kuasa selama 22 tahun.

"Harimau itu kini sudah tua sampai beliau suka sangat (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang sehingga sanggup menerima individu yang dianggap sebagai pemimpin pembangkang untuk diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Ini adalah agenda supaya anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz boleh menjadi Perdana Menteri, selain sanggup bersekongkol dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan berjabat tangan dengannya sehingga menimbulkan tanda tanya adakah beliau sanggup menerima seorang pelaku homoseksual sebagai pemimpin Malaysia," katanya.

Berita Harian X