Selasa, 14 Februari 2017 | 3:32pm

Penyelesaian isu tanah NCR sedang dikaji

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom,  Penasihat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan anak bongsu calon Barisan Nasional (BN), bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan melaungkan BN Boleh di Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Limo Lundu. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

LUNDU: Jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu tanah hak adat Bumiputera (NCR) sedang mengkaji beberapa perkara untuk menangani masalah itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata antara yang dikaji ialah faktor sejarah dan adat.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, kajian dijangka mengambil masa yang lama kerana pihaknya perlu meneliti banyak perkara penting.

"Penubuhan jawatankuasa ini selaras dengan arahan Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Abang Openg) supaya isu NCR ditangani dengan bijak.

"Jawatankuasa khas itu sudah mengadakan perbincangan dan kini kajian berkaitan isu terbabit sedang dijalankan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Limo di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Penasihat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Alfred Jabu Numpang; dan anak bongsu calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.

Antara kawasan yang menghadapi isu tanah NCR di kawasan Tanjong Datu ialah Kampung Sampadi, Kampung Sungai Limo, Kampung Kangkar dan Kampung Sebat Dayak.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Uggah berkata kerajaan mengambil langkah untuk menyelesaikan isu itu bukannya disebabkan sedang menghadapi PRK Tanjong Datu.

"Kerajaan sudah lama mencari kaedah untuk menyelesaikan isu itu, bukan hanya ketika pilihan raya. Antara langkah yang sudah kita ambil ialah melaksanakan penyukatan perimeter," katanya.

Berita Harian X