X
Selasa, 17 Januari 2017 | 9:33pm

Festival Artbeat ketengahkan bakat pelajar TVET

TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching menerima cenderahati pada Majlis Perasmian Festival Artbeat 'Membawa Seni Ke Arah Keusahawanan', Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching menerima cenderahati pada Majlis Perasmian Festival Artbeat 'Membawa Seni Ke Arah Keusahawanan', Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Festival Artbeat anjuran Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor mampu mengetengahkan bakat penuntut dalam latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) pada peringkat tempatan serta antarabangsa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata program itu dapat membantu penuntut memperkayakan pengalaman pembelajaran melalui kegiatan seni dan kreatif dalam penghasilan produk masing-masing.

"Bidang reka bentuk kreatif adalah antara bidang yang menjadi tarikan utama dalam TVET kerana ia sesuai dengan golongan muda atau 'Millennial' yang terdedah dengan teknologi.

"Program yang akan dilaksanakan ini selaras dengan hasrat kementerian untuk melahirkan penuntut yang berciri keusahawanan seiring Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Artbeat 'Membawa Seni Ke Arah Keusahawanan', di sini hari ini.

Difahamkan, Festival Artbeat selama sebulan itu akan diadakan di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang di Johor pada awal Februari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md Noor, berkata festival berkenaan adalah hasil kerjasama antarabangsa bagi program Pusat Teknologi Tinggi Malaysia-Korea (MKHTC).

"Melalui program ini, penuntut dapat menimba ilmu dan pengalaman mengenai fotografi bersama pakar iaitu Profesor Jang Suk Joo, dari Jabatan Media Visual, Kampus ASEAN Politeknik Korea.

"Selain itu, pelbagai pengisian program dirancang sepanjang berlangsungnya festival ini termasuk ceramah Artbeat, pertunjukan fesyen hasil karya rekaan penuntut selain gerai jualan hasil karya kreatif," katanya.

Berita Harian X