Khamis, 12 Januari 2017 | 9:54pm
 PENGARANG Pendidikan BH, Fadzlena Jaafar (tengah) bergambar bersama pelajar-pelajar yang menerima sumbangan pada Program kembali ke sekolah Media Prima di Aeon Cheras Selatan. -Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGARANG Pendidikan BH, Fadzlena Jaafar (tengah) bergambar bersama pelajar-pelajar yang menerima sumbangan pada Program kembali ke sekolah Media Prima di Aeon Cheras Selatan. -Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ANTARA pelajar yang menerima sumbangan bergambar pada Program kembali ke sekolah Media Prima di Aeon Cheras Selatan.
ANTARA pelajar yang menerima sumbangan bergambar pada Program kembali ke sekolah Media Prima di Aeon Cheras Selatan.

50 pelajar kurang mampu dapat bantuan

CHERAS: Seramai 50 pelajar kurang berkemampuan daripada 10 sekolah yang melanggan sisipan BH iaitu, Didik, Minda dan Skor menerima sumbangan barangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Kembali Ke Sekolah BH, hari ini.

Program tanggungjawab sosial korporat anjuran BH dengan kerjasama sukarelawan briged Media Prima dan Aeon Co (M) Bhd itu menyediakan dua pasang baju seragam sekolah, stokin dan kasut sekolah bagi setiap pelajar.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abu Bakar Baginda, Bangi, Juliawati Sakiman, berkata pelaksanaan program itu amat bertepatan, terutama bagi membolehkan pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan sewajarnya, khususnya dalam menempuhi sesi persekolahan baharu tahun ini.

Beliau berkata, inisiatif murni seumpama itu perlu diteruskan pada masa akan datang di samping berharap lebih banyak organisasi korporat dapat tampil, terutama untuk membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan pembelajaran dalam persekitaran menyeronokkan.

"Program dilaksanakan BH dengan Media Prima Bhd (MPB) ini bagus dan wajar menjadi contoh kepada badan korporat lain.

"Ia bukan setakat meringankan bebanan keluarga kurang berkemampuan, bahkan berupaya meningkatkan lagi semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang," katanya.

"Saya yakin dan percaya program seperti ini dapat menyumbang ke arah memperkasakan lagi pencapaian akademik pelajar secara lebih berterusan, pada masa sama mampu memperkasakan masyarakat dan komuniti setempat," katanya ketika ditemui pada Program Kembali Ke Sekolah, di Aeon Cheras Selatan, di sini.

Turut hadir, Pengurus Komunikasi Korporat dan Pemasaran Aeon CO (M) Bhd, Loo Li Lian, Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Aeon CO (M) Bhd, Siti Shahiedatul Shareena Shamsudin dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)Kuala Lumpur, Hafiz Mohd Shahar, berkata program berkenaan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kepada pelajar untuk lebih fokus dalam pembelajaran seterusnya memacu kejayaan cemerlang yang boleh membanggakan diri, keluarga,serta negara pada masa akan datang.

Sumbangan turut membabitkan SMK Taman Desa, SMK Bandar Baru Ampang, SBPI Integrasi Gombak, SK Taman Melawati 2 dan SK Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Berita Harian X