Jumaat, 6 Januari 2017 | 10:20pm

Penjagaan kesihatan Malaysia diiktiraf terbaik di dunia

SUMBER internationalliving.com
SUMBER internationalliving.com

KUALA LUMPUR: Majalah International Living mengiktiraf sektor penjagaan kesihatan Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia.

Majalah itu melaporkan, Malaysia memiliki ramai doktor terlatih terbaik di Asia dengan sebahagian besarnya menerima latihan dan pendidikan di Amerika Syarikat, Australia atau United Kingdom.

Selain itu, lapornya, semua doktor berkenaan berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, sekali gus memudahkan urusan pesakit dari luar negara mendapatkan rawatan di sini.

"Pengukuhan mata wang dolar AS, kos penerbangan murah, kos penjagaan kesihatan yang tinggi di negara barat selain senarai menunggu yang panjang, menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia.

"Bilangan kehadiran pelancong kesihatan ke negara ini meningkat purata 100 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

"Malah, tahun lalu, lebih sejuta pelancong kesihatan datang untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dan angka itu dijangka meningkat tahun ini," katanya dalam laman web majalah berkenaan, hari ini.

Majalah itu menyebut, Kuala Lumpur dan Georgetown adalah dua pusat perubatan utama di Malaysia dengan kedua-dua bandar dihubungkan dengan perkhidmatan penerbangan daripada pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa dari seluruh dunia.

Lapornya, lapan hospital di Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa dikeluarkan Jawatankuasa Bersama Antarabangsa (JCI) yang dilihat sebagai piawaian terkemuka dalam kalangan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan seluruh dunia.

"Akreditasi seperti ini adalah komponen penting untuk meyakinkan pesakit dari luar negara menerima rawatan di negara ini.

"Ada juga beberapa hospital tidak berasaskan keuntungan yang menawarkan perkhidmatan terbaik seperti Hospital Lam Wah Ee di Pulau Pinang. Penulis kami menjalani rawatan dua kali di sini dan berpuas hati dengan tahap profesionalisme mereka," katanya.

Selain Malaysia, majalah antarabangsa itu turut menyenaraikan Costa Rica, Colombia dan Mexico sebagai empat negara terbaik dari segi sektor penjagaan kesihatan.

Perkembangan itu turut diulas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi entri terbaru akaun Twitter rasminya.

"Pengiktirafan @inliving terhadap Malaysia sebagai Penjagaan Kesihatan Terbaik di Dunia adalah penghargaan kepada usaha kerajaan mempromosikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik," katanya.

Berita Harian X