Khamis, 22 Disember 2016 | 1:36pm

STAR LRT sambut 'hari jadi' ke-20

MENTERI Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani (tengah) bersama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman memotong kek pada majlis Ulang Tahun Ke-20, Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani (tengah) bersama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman memotong kek pada majlis Ulang Tahun Ke-20, Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Menyusuri dua dekad usianya, Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) LRT sehingga kini tidak pernah 'culas' daripada menjalankan amanah mengangkut hampir 500,000 penumpang ke destinasi dituju setiap hari.

Tersohor sebagai pengangkutan awam utama untuk Sukan Komanwel 1998 yang menjulang dan menjadikan Malaysia tumpuan masyarakat dunia, STAR LRT hari ini menyambut ulang tahun selepas mula berkhidmat pada 16 Disember 1996.

Bermula dengan fasa pertama dari Stesen Ampang ke Stesen Sultan Ismail, perkhidmatan tren seumpamanya itu diperluaskan dengan pembukaan fasa kedua pada 11 Julai 1998 yang menghubungkan landasan awal sehingga ke Sri Petaling.

Laluan Ampang itu kemudian dilengkapkan sepenuhnya dengan penyambungan jajaran ke Sentul Timur pada 6 Disember 1998, sebelum dipanjangkan ke Putra Heights pada pertengahan tahun ini untuk dikenali sebagai Laluan LRT Sri Petaling.

Detik pembaharuan sektor pengangkutan awam itu tidak terhenti di situ. Operator LRT, iaitu Rapid Rail Sdn Bhd menaik taraf kualiti perkhidmatan dengan memperkenalkan tren enam gerabak, berbanding empat sebelum ini untuk Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling.

Diapit dengan kemunculan PUTRA LRT, KL Monorel dan terbaru, Aliran Transit Massa (MRT), STAR LRT masih menjadi pilihan pengguna khususnya di Lembah Klang yang memilih pengangkutan awam berbanding terpaksa bersesak dengan memandu kenderaan persendirian.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata perangkaan menunjukkan sehingga kini, lebih dua bilion penumpang menggunakan perkhidmatan LRT.

"Ketika dibuka pada Disember 1996, jumlah penumpang tidak ramai kerana ia adalah LRT pertama di Malaysia, namun hari ini kita menyaksikan hampir 200,000 orang menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari," katanya selepas majlis Ulang Tahun Ke-20, Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Ampang, di sini hari ini.

Pada majlis sama, pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd turut memberi pengiktirafan kepada 100 pegawai dan kakitangan yang mula menabur bakti kepada perkhidmatan STAR LRT sejak ia mula dibangunkan 20 tahun lalu.

Berita Harian X