X
Isnin, 19 Disember 2016 | 10:44pm

Selarikan indeks syariah dengan TN50 - PM

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia yang diselarikan dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) mampu melonjak ekonomi dan membawa kejayaan kepada negara serta rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan indeks syariah penting untuk memastikan urus tadbir negara berdasarkan lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

"Kita ada impian besar hendak memastikan dalam masa lapan tahun lagi ekonomi negara dilonjak daripada RM1.3 trilion ketika ini kepada RM2 trilion. 

"Bayang-bayang itu sudah nampak dengan dipacu projek Aliran Transit Massa (MRT), Lebuhraya Pan Borneo, projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

"Tapi, lebih daripada itu saya sudah tetapkan dan kerajaan ingin lihat supaya dalam tempoh 30 tahun, kita hendak Malaysia jadi negara kelas dunia, 20 (negara) terhebat di dunia.

"Semua ini mesti kita lihat dalam konteks prinsip maqasid syariah, yang mana kita tahu bukan saja untuk orang Islam, tapi universal aplikasinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Pelan Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia 2016-2018 di Seri Perdana, di sini, hari ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis pelancaran Buku Pelan Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia 2016-2018 di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis pelancaran Buku Pelan Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia 2016-2018 di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata, negara yang diurus tadbir mengikut prinsip maqasid syariah juga akan mendapat rahmat, keberkatan dan keredaan Allah SWT.

"Menerusi indeks ini, kita mahu menentukan skor kita, sejauh mana pencapaian prestasi, sejauh mana kita mampu sebagai sebuah kerajaan berdasarkan kepada prinsip maqasid syariah," katanya.

Berita Harian X