Sabtu, 10 Disember 2016 | 10:26pm

Perak hargai ilmuwan anak negeri

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menghadiri majlis perasmian penutup Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) di Arena Pangkor, sebentar tadi. - Foto Supian Ahmad
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menghadiri majlis perasmian penutup Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) di Arena Pangkor, sebentar tadi. - Foto Supian Ahmad

PULAU PANGKOR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ilmuwan Perak kepada Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar 8 Perak, Datuk Dr Muhammad Afifi al Akiti pada majlis perasmian penutup Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) di Arena Pangkor, sebentar tadi.

Muhammad Afifi, 40, yang juga felo pengajian Islam di Oxford Center For Islamic Studies (OCIS) di United Kingdom, adalah penerima pertama anugerah berkenaan yang diwujudkan bagi menghargai ilmuwan kelahiran Perak.

Ia adalah antara empat anugerah utama dalam Hadiah Karya Darul Ridzuan (HDKR) kali kelima.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam ucapannya berkata, PULARA yang memilih tema `Puisi Mengharmoni' kali ini, semakin menjadi perhatian antarabangsa selepas tujuh tahun diadakan.

"Tema dipilih boleh menyantuni banyak perkara, suasana dan daya pertimbangan," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; dan Timbalan Speaker Negeri, Datuk Nasaruddin Hashim.

Sementara itu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dianugerahkan kepada Penyelaras Unit Kajian Jawi dan Khat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr HM Bukhari Lubis.

HM Bukhari, 63, adalah rakyat Malaysia pertama mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang sastera Islam bandingan Arab, Parsi, Turki dan Malaysia.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Karyawan Seni Perak kepada Rashidi Abdul Khariz dan Anugerah Seni Budaya kepada Mohd Ghazali Abdul Rashid atau Malim Ghazali Pk.

15 kategori HKDR antaranya pengiktirafan pada buku akademik dan sastera diumumkan pada 8 Disember lalu.

PULARA yang dimulakan pada tahun 2010, adalah acara tahunan yang ditaja sepenuhnya kerajaan negeri Perak.

Edisi ketujuh kali ini bermula 8 Disember lalu dan menyaksikan 400 penyertaan daripada 20 negara termasuk Malaysia.

Sementara itu Muhammad Afifi berkata, beliau sangat bersyukur dengan penganugerahan diberikan dan sebagai anak Perak berbangga menerimanya.

"Saya berterima kasih atas penganugerahan ini dan terima kasih juga kepada bonda saya.

"Saya berharap penganugerahan ini dapat dimanfaatkan dan memanfaatkan orang lain juga," katanya kepada BH.

Berita Harian X