Jumaat, 9 Disember 2016 | 9:12pm

PULARA pikat penyertaan luar negara

MENTERI Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima cenderahati daripada delegasi China selepas merasmikan PULARA Pangkor 7 2016 Puisi Mengharmoni di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima cenderahati daripada delegasi China selepas merasmikan PULARA Pangkor 7 2016 Puisi Mengharmoni di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor hari ini. - Foto BERNAMA

PULAU PANGKOR: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) yang dimulakan sejak 2010 bukan hanya dikenali di rantau Asia Tenggara tetapi sudah menjangkau ke peringkat antarabangsa.

Kehadiran delegasi luar negara juga semakin bertambah setiap tahun dengan tahun ini membabitkan penyertaan dari 20 buah negara antaranya dari Turki, Argentina sementara beberapa pemakalah antarabangsa sudah memberikan komitmen untuk menyertai PULARA 2017.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata PULARA yang merupakan acara tahunan tajaan sepenuhnya Kerajaan Negeri Perak akan terus mengekalkan tema dan pengisiannya untuk beberapa waktu khusus untuk memberi fokus kepada isu-isu bahasa dan persuratan Melayu.

"Kita ingin melihat ada perubahan kepada pihak yang bersikap wewenang pada kedudukan bahasa Melayu.

"Sebagai masyarakat berbudaya tinggi, kita tidak harus membiarkan bahasa Melayu terumbang ambing," katanya ketika merasmikan PULARA edisi ketujuh bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasharudin Hashim dan Pengarah PULARA, Mohd Ghazali Abdul Rashid.

Zambry berkata, teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenaan sikap tidak endah terhadap bahasa Melayu sedikit masa lalu seharusnya sudah membuka mata pihak yang berkaitan.

Beliau berkata, pembangunan bukan hanya pada binaan bangunan pencakar langit tetapi juga pembinaan jati diri.

Berita Harian X