Ahad, 20 November 2016 | 5:59pm

Australia mahu perkukuh kerjasama dengan Malaysia atasi keganasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto EPA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto EPA

LIMA: Australia mahu kerjasama dengan Malaysia dalam usaha mengatasi keganasan dipertingkatkan bagi membendung ancaman militan Daesh.

Ia berikutan timbulnya kebimbangan golongan militan terbabit kembali ke negara masing-masing selepas gerakan itu di negara seperti Iraq dan Syria ditumpaskan.

Sebagai contoh, kejayaan pihak berkuasa Iraq menguasai semula wilayah Mosul membimbangkan Australia berikutan kemungkinan ahli Daesh kembali mengganas di Asia Tenggara.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, kepada Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dua hala di luar persidangan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Australia turut meminta kedua-dua negara bekerjasama mengatasi isu penghijrahan imigran ke negara itu melalui negara kedua.

Najib turut menemui rakan sejawatannya dari Papua New Guinea, Peter O'Neill, di hotel penginapan Lima Country Club.

Katanya, Papua New Guinea menyatakan hasrat meminta PETRONAS membangunkan kawasan gas asli daratan untuk menghasilkan gas cecair asli (LNG) di negara berkenaan.

"O'Neill turut meminta Malaysia membantu dalam bidang bina upaya khususnya sebagai persediaan menjadi tuan rumah APEC 2018," katanya.

Dalam pertemuan dengan kumpulan Pakatan Perdagangan Amerika Syarikat-APEC, Najib berkata, mereka memuji dasar terbuka perdagangan dan pelaburan Malaysia.

Najib berkata, mereka meminta bantuan bagi membolehkan pakatan itu mengembangkan perdagangan dan pelaburan ke Malaysia.

Berita Harian X