Jumaat, 28 Oktober 2016 | 8:48pm

Perak kerjasama Pahang, Terengganu semarakkan pelancongan

Nolee Ashilin (dua kanan) bersama Mohd Hizaz (dua kiri), Ibrahim Seddiqi (paling kiri) dan Zuraida pada sidang media di Kepura Cave Lost, Lost World of Tambun hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari
Nolee Ashilin (dua kanan) bersama Mohd Hizaz (dua kiri), Ibrahim Seddiqi (paling kiri) dan Zuraida pada sidang media di Kepura Cave Lost, Lost World of Tambun hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Kerajaan Perak akan bekerjasama dengan Terengganu dan Pahang bagi merancakkan lagi promosi sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata perbincangan sudah diatur untuk merumus pakej pelancongan yang kompetitif.

"Ketiga-tiga negeri akan bekerjasama bermula bulan hadapan dan turut akan melancarkan pakej 'World Travel Mart' di London bagi memperkenalkan keunikan kawasan pelancongan di negeri masing-masing.

"Kerjasama dan usaha ini seiring dengan program Tahun Melawat Perak (TMP) tahun hadapan serta pengiktirafan kedua terbesar daripada portal pengembaraan dunia Lonely Planet yang meletakkan Perak sebagai Wilayah kesembilan utama untuk dilawati tahun hadapan," katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak (MOTAC), Mohd Hizaz Mohd Ibrahim; Pengarah Tourism Malaysia Perak, Ibrahim Seddiqi Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Bhd, Zuraida Md Taib.

Beliau berkata, pakej itu mengandungi percutian untuk ketiga-tiga negeri membabitkan pelancong domestik mahu pun luar negara  dalam jangka masa yang sama.

Nolee Ashilin berkata, beliau berharap pengiktirafan dunia itu dapat dikekalkan dan sekali gus menjadi pemangkin untuk merebut pelbagai lagi pengiktirafan seumpamanya di masa hadapan.

Perak yakin untuk mencapai sasaran menerima kunjungan tujuh juta pelancong domestik dan luar negara.

Perak mempunyai pelbagai produk pelancongan berpotensi tinggi seperti Pulau Pangkor, Hutan Royal Belum, Kellie's Castle, Gua Tempurung, Taman Tema Air Lost World Of Tambun serta kolam air panas Felda Hot Spring.

Berita Harian X