Sabtu, 15 Oktober 2016 | 12:25am

MARA penyumbang utama pembangunan TVET

MENTERI Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan KKTM Kuantan, pada Jumaat.
MENTERI Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan KKTM Kuantan, pada Jumaat.

KUANTAN: Institusi-institusi pendidikan kelolaan MARA adalah penyumbang utama pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang merangkumi pengajian peringkat sijil hingga ijazah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa ini, seramai 77,626 pelajar TVET sedang melanjutkan pelajaran di institut pendidikan MARA termasuk Giat MARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japanese Industrial Institute (MJII) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Kita berbangga kerana sebanyak 30 peratus daripada guna tenaga negara adalah keluaran MARA. Bermula dengan IKM pertama di Melaka pada 1968, IKM terus berkembang dengan kini mempunyai 14 kampus seluruh negara.

"Program yang berfokus kepada teknologi tinggi pula dipacu oleh 11 KKTM dan MJII," katanya selepas merasmikan KKTM Kuantan, pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata, sebanyak RM1.4 bilion disalurkan kepada Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi pembangunan modal insan dan aktiviti pendidikan Bumiputera.

"Saya yakin dengan pengalaman, kematangan serta kecekapan pegawai MARA, kita boleh mencapai matlamat agenda pemerkasaan Bumiputera melalui penguasaan bidang keusahawanan, pendidikan dan pemilikan ekuiti," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X