Khamis, 6 Oktober 2016 | 9:56am

Ribut Tropika Aere di timur laut Kudat

KUALA LUMPUR: Ribut Tropika Aere dicerap berlaku di Latitud 20.2 Utara dan Longitud 121.3 Timur, kira-kira 400 kilometer (km) ke Utara Luzon, Filipina, bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 25 km sejam (km/j).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web yang dikemas kini pada jam 6.06 pagi ini melaporkan, ia dicerap di 1,556 km ke Timur Laut Kudat, Sabah, pada jam 5 pagi ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40-50 km/j dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Phuket, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

Sementara itu, MetMalaysia menerusi laman web yang dikemas kini jam 8.41 pagi ini turut memberi amaran keadaan sama yang berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut itu diramal berlaku esok hingga Selasa ini.

Jabatan itu melaporkan ribut petir di perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri) dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Tawau) pula dijangka berterusan hingga lewat pagi ini.

Keadaan itu, katanya, boleh menyebabkan angin kencang hingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

Ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di Kedah (Daerah Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama) juga dijangka berterusan hingga lewat pagi ini.

Berita Harian X