Sabtu, 1 Oktober 2016 | 3:54pm

Siri Sang Kancil dapat sambutan baik di Indonesia

10 judul cerita dari siri Sang Kancil terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). - Foto ihsan Twitter ITBM
10 judul cerita dari siri Sang Kancil terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). - Foto ihsan Twitter ITBM

JAKARTA: Populariti cerita Sang Kancil sebagai warisan sastera lisan Melayu menyaksikan hak cipta 10 judul cerita dari siri Sang Kancil terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dibeli untuk terjemahan ke bahasa Indonesia oleh penerbit, Zikrul Hakim Bestari.

Pengarah Urusannya, Ramon Agus, berkata cerita klasik sang kancil dikongsi bersama rakyat kedua-dua negara dan tidak mustahil penerbitannya di Indonesia akan mendapat sambutan yang baik.

"Ada banyak buku sang kancil diterbitkan tetapi tidak ada yang memaparkan ilustrasi sebaik ini, selain cerita yang menyelitkan mesej yang baik.

"Setakat ini, kami sudah menerbitkan tiga judul daripada siri ini. Baki tujuh tajuk lagi akan dipasarkan menjelang Disember ini," katanya pada BH selepas Majlis Pelancaran Buku Seri Dongeng Si Kancil di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2016 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron; Ahli Dewan Penasihat Ikatan Penerbit Indonesia, Kartini Nurdin dan kartunis tanah air, Jaafar Taib.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, siri Sang Kancil ditulis semula bagi menyuntik nilai moral yang baik dan boleh diikuti oleh pembaca muda.

"Ilustrasinya juga dihasilkan dengan penuh teliti menyaksikan naskhah ini turut mendapat perhatian penerbit dari China, Jepun dan Turki sebelum ini," katanya.

Cerita Sang Kancil ditulis semula oleh Rahimidin Zahari dengan ilustrasi dihasilkan oleh Jaafar yang sebelum ini menerima hadiah utama Samsung KidsTime Author's Award di Singapura, Mei lalu.

Terdapat 10 cerita dalam siri ini iaitu Kancil dan Buaya, Kancil dan Penjaga Ladang, Kancil dan Anak Harimau, Kancil dan Siput, Kancil dan Harimau, Kancil Menjadi Hakim, Kancil dan Raksasa, Kancil dan Harimau Tua, Kancil dan Ikat Pinggan Sakti serta Kancil dan Sumur Mati.

IIBF2016 yang berlangsung hingga esok menyaksikan Malaysia dijemput sebagai negara tamu.

Berita Harian X