Sabtu, 10 September 2016 | 7:43pm

2 kursus baharu kolej komuniti tingkat nilai graduan

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching (tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md Noor (du dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Ketua Pengarah, Muhamed Norle Rosli (tiga dari kiri) dari Kolej Komuniti Bandar Penawar diiringi Ibubapanya, Norazlina Abdullah, 43 (kanan) dan Rosli Aman, 42 (dua dari kanan) pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti 2016, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor di Dewan Besar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

DURIAN TUNGGAL: Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti menambah dua kursus baharu iaitu Bidang Teknologi Rel dan Asas Pekerjaan Dalam Industri Kenderaan Berat, mulai tahun depan, dalam usaha melahirkan kebolehpasaran graduan berkualiti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Amir Md Noor, berkata sebagai permulaan, peringkat diploma kursus itu akan ditawarkan di Kolej Komuniti Kelana Jaya, Selangor dan Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah.

Setakat ini, katanya, dua pensyarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti terpilih menjalani kursus di Thales, Portugal, bermula Rabu ini dalam bidang teknologi landasan, manakala seorang lagi pensyarah akan dihantar menjalani kursus bidang penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kereta api di Kolej Vokasional Hunan, China.

"Langkah ini diambil kerana negara bakal mempunyai kemudahan rel kereta api laju dari selatan ke Putrajaya dan utara.

"Kita juga mewujudkan diploma berasaskan kerja untuk melatih juruteknik bagi menyelenggara kenderaan berat dan bekerjasama dengan MaraLiner dalam bidang industri bas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor 2016 di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Mohd Nasir Abdul Ghani serta Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Kolej Komuniti, Rosli Idris.

Pada majlis itu, seramai 1,885 pelajar dari 22 kolej komuniti di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menerima sijil, membabitkan 25 program ditawarkan di semua pusat pengajian berkenaan.

Sementara itu, Kain Ching berkata, kementerian menyambut baik cadangan penambahan dua kursus baharu itu, sekali gus mencapai inisiatif Lonjakan Empat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi 2015-2025) iaitu melahirkan graduan dalam bidang teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) berkualiti.

"Sejak ditubuhkan pada 2001, sejumlah 134,047 graduan peringkat diploma dan sijil dilahirkan melalui sistem pendidikan di kolej komuniti seluruh negara.

"Lebih membanggakan, graduan dari kolej komuniti terus menjadi pilihan majikan berdasarkan kebolehpasaran," katanya.

Berita Harian X