Jumaat, 9 September 2016 | 8:59pm

YAKEB anggap pemergian 'Iron Gate' kehilangan besar

MALEK Samsudin yang mewakili Skuad Prihatin YAKEB menyampaikan bantuan awal ketika menziarahi arwah di hospital kelmarin.
MALEK Samsudin yang mewakili Skuad Prihatin YAKEB menyampaikan bantuan awal ketika menziarahi arwah di hospital kelmarin.

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) menyifatkan pemergian bekas penjaga gol negara, Datuk Yusoff Abu Bakar satu kehilangan besar kepada arena sukan negara.

Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor, berkata pihaknya sedih dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan antara penjaga gol terbaik pernah dimiliki negara.

"Saya bagi pihak YAKEB mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan sebelum pemergiannya, pengurusan YAKEB pernah melawat Allahyarham pada awal tahun ini.

"Pada 7 September lalu, Skuad Prihatin YAKEB diketuai bekas pemain sepak takraw negara, Malek Samsuddin juga turut melawat beliau dan menyampaikan bantuan awal kepada keluarga Allahyarham untuk perbelanjaan masuk ke hospital.

"Malah kita akan menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM20,000 kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban mereka," katanya sebentar tadi.

Bekas penjaga gol kebangsaan era 1950 dan 60-an itu meninggal dunia kerana sakit tua di Hospital Sultanah Bahiyyah, di sini pada jam 6.15 petang tadi.

Allahyarham yang terlantar uzur lebih setahun, menghembuskan nafas terakhir di samping anak, isteri serta keluarga terdekat.

Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al- Bukhari Alor Setar jam 11 pagi esok.

Yusoff yang dilahirkan pada tahun 1935 di Pulau Pinang tetapi dibesarkan di Kedah baru menyambut ulang tahun ke-81 pada 1 September lalu.

Ketangkasannya ketika mengawal gawang menyaksikan dirinya digelar 'Iron Gate' dan Yusoff sezaman dengan pemain legenda lain seperti Allahyarham Jalil Che Din, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, Arthur Koh dan M Kuppan.

Antara kejayaan Yusoff termasuk membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma (kini Yangon, Myanmar) pada tahun 1961 selain beraksi pada Pestabola Merdeka dan perlawanan antarabangsa lain dari 1958 hingga 1963.

Berita Harian X