Selasa, 6 September 2016 | 7:38am

Amaran ribut petir di serata tempat

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di daerah Pokok Sena, Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Menerusi laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 4.12 pagi ini, Pulau Pinang, Perak (daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datoh dan Hilir Perak), juga diramal mengalami cuaca sama.

Turut dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang sehingga pagi ini ialah Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang), Putrajaya, Negeri Sembilan (Rembau, Seremban dan Port Dickson), Melaka, Johor (Tangkak , Muar, Batu Pahat dan Pontian).

Bahagian Pedalaman Sabah (Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar), Labuan manakala Sarawak di Bahagian Limbang, Miri, Kapit, Bintulu, Mukah, Sibu, Sarikei, Betong dan Sri Aman.

Sementara itu, MetMalaysia menerusi laman web yang dikemas kini jam 6.26 pagi melaporkan ribut petir di perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat, Sarawak (Rejang, Mukah dan Bintulu), Sabah (Pantai Barat) dan Labuan dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil," katanya.

Berita Harian X