Sabtu, 27 Ogos 2016 | 11:37am

Raptai hari pertama perbarisan, perarakan Hari Kebangsaan

UNIT Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) melintasi pentas kenamaan ketika raptai hari pertama acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka hari ini.
UNIT Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) melintasi pentas kenamaan ketika raptai hari pertama acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR: Raptai bagi hari pertama untuk acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka hari ini berjalan lancar.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Othman Mahmood berkata raptai yang bermula seawal 6.30 pagi itu disertai 15,000 peserta daripada pelbagai lapisan umur dan agensi.

"Hari ini hari pertama dan kita ada dua kali lagi. Pada 29 Ogos ini kita akan adakan raptai penuh sehingga mencapai 100 peratus tahap kepuasan.

"Masih ada banyak perkara perlu diperbaiki seperti persembahan dan aspek teknikal termasuk pemasangan kerusi penonton dan skrin LED," katanya ketika ditemui Bernama selepas raptai Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hari pertama raptai itu, Othman berkata, pihaknya akan memastikan sebarang kekurangan daripada pelbagai aspek akan dapat dipenuhi sebelum raptai penuh dijalankan.

Mengenai jumlah sasaran pengunjung, Othman berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan antara 400,000 sehingga 500,000 pengunjung tahun ini bagi memeriahkan sambutan tahunan itu.

"Tahun lepas 200,000 hadir. Saya harap ia meningkat kerana kita ada sedikit kelainan persembahan iaitu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan membuat persembahan istimewa mengenai keselamatan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad," katanya.

Beliau berkata, pengunjung adalah dialu-alukan hadir pada 31 Ogos ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 dengan memakai pakaian berkonsepkan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih dan biru.

Terdapat 10 jenis segmen persembahan dan perarakan iaitu kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara, dan segmen rakyat bersepadu.

Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu 'Sehati, Sejiwa' dikekalkan untuk 2016 kerana perlunya memupuk semangat bersatu-padu yang telah lama menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ini bukan perkara mudah untuk selaraskan 15,000 peserta dari pelbagai agensi dan umur. Apa yang penting perlu ada persefahaman dan kerjasama," kata Othman. - BERNAMA

Berita Harian X