Khamis, 25 Ogos 2016 | 6:29pm

8 wanita lakukan pendakian amal kumpul dana

TAN Sri Khalid Yunus.
TAN Sri Khalid Yunus.

KUALA LUMPUR: Seramai lapan wanita termasuk bekas pesakit kanser payudara bakal menggalas cabaran mendaki Gunung Elbrus, Russia setinggi 5,642 meter pada Ogos tahun depan sempena projek Kempen Kembara Srikandi Prihatin.

Gunung Elbrus iaitu antara tujuh gunung tertinggi di tujuh benua dunia adalah projek kemuncak yang dijalankan Persatuan Kembara Negara bagi membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Presidennya, Tan Sri Khalid Yunus, berkata kempen itu sebagai medium penggerak untuk mengumpul dana kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, sejumlah RM1.24 juta dana disasarkan untuk dikumpul menerusi kempen itu dengan kerjasama beberapa badan amal dan kebajikan termasuk Harian Metro sebagai rakan media dalam menjayakan misi berkenaan.

"Kempen ini membabitkan wanita daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai pengalaman mendaki bagi mempromosikan gaya hidup sihat serta budaya berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang bernasib baik.

"Ekspedisi yang mencabar itu adalah refleksi semangat juang bagi mengharungi pelbagai dugaan hidup melalui kesanggupan pendaki menyahut cabaran serta menggalas tanggungjawab menyelesaikan misi," katanya dalam sidang media di Pejabat New Straits Times Press (NSTP), di sini, hari ini.

Bagi memeriahkan lagi kempen sempena sambutan Kemerdekaan ke-60 serta ulang tahun ke-10 projek Merdeka De'Everest pada 2017 nanti, pendaki wanita negara pertama ke Everest, Marina Ahmad dan seorang duta selebriti akan menyertai misi berkenaan.

Berita Harian X