Ahad, 21 Ogos 2016 | 7:43am

Laut bergelora di perairan Kedah, Perlis dan PP

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebentar tadi mengeluarkan amaran ribut petir menyeluruh di perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Barat Johor, dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Jabatan itu menerusi laman web yang dikemas kini jam 6.48 pagi ini melaporkan keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencecah ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

"Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter juga dilaporkan berlaku di perairan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sehingga pagi ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," kata laporan itu.

Amaran sama dengan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter juga dijangka berlaku di perairan Phuket sehingga hari ini manakala di Reef North, Layang-Layang dan Palawan, sehingga Rabu ini.

Terdahulu, menerusi laman web yang dikemas kini jam 5.08 pagi ini, MetMalaysia melaporkan ribut petir berserta angin kencang di Melaka, Johor (daerah Tangkak dan Muar) dan Terengganu (daerah Hulu Terengganu dan Dungun) juga dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Berita Harian X