Khamis, 4 Ogos 2016 | 3:10pm

4,000 hadiri WIEF ke-12, terbesar dalam sejarah - Musa

PENGERUSI Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam. - Foto Aizuddin Saad
PENGERUSI Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam. - Foto Aizuddin Saad

JAKARTA: Platform Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) seperti 'permata' yang mengangkat jenama Malaysia di arena antarabangsa dalam menjuarai pembangunan usahawan mikro, kecil dan sederhana, kata Tun Musa Hitam.

Malah, menurut Pengerusi Yayasan WIEF itu, kejayaan penganjurannya yang memasuki tahun ke-12 di Indonesia dengan kehadiran lebih 4,000 peserta, tertinggi dalam sejarah, sudah tentu akan diterjemahkan dengan manfaat yang jauh lebih besar kepada Malaysia.

Katanya, melihat kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di sini, syarikat Malaysia meraih manfaat besar.

"...dan dalam konteks Indonesia sebagai tuan rumah juga, ia mencapai matlamat mereka," katanya pada hari terakhir WIEF ke-12 di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Setiausaha Yayasan WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Bagaimanapun, bagi Musa yang menjadi tonggak WIEF sejak kali pertama penganjuran di Malaysia pada 2005 dengan 400 peserta, forum itu bukan mengenai kontrak berbilion-bilion, MoU atau kalangan tokoh terkemuka dunia perniagaan yang hadir.

"Kami juga tidak mendapat liputan dan berita utama di media. Itu bukan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kami. WIEF adalah mengenai aspek insan dalam melaksanakan perniagaan," katanya sambil menambah WIEF juga tiada hasrat menjejak landasan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Musa berkata, WIEF berperanan mempertemukan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (MSEM) serta pembiaya dalam satu platform untuk melaksanakan perniagaan.

Antara kontrak terbesar dimeterai syarikat Malaysia dalam WIEF kali ini adalah antara tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia dengan sebuah firma Indonesia bagi pembinaan 40,000 unit rumah mampu milik bernilai RM3.5 bilion di Tangerang, Jakarta.

Musa juga berkata, WIEF akan mengumumkan venue alternatif bagi penganjuran forum itu pada tahun depan berikutan Korea terpaksa menangguhkannya atas faktor tidak dapat dielakkan.

WIEF bermula sebagai Forum Perniagaan OIC pada 2003 sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Putrajaya, Malaysia. Idea penubuhan WIEF tercetus pada Forum Perniagaan OIC kedua pada 2004 dan penubuhan Yayasan WIEF disempurnakan setahun kemudian.

Hingga kini forum tahunan itu sudah diadakan di Malaysia, Pakistan, Kuwait, Indonesia, Kazakhstan, London dan Dubai. Ini adalah kali kedua Indonesia menganjurkan forum itu yang kali ini bertemakan, 'Menyebarluaskan Pertumbuhan, Memperkasa Perniagaan Masa Depan'.

Berita Harian X