Khamis, 4 Ogos 2016 | 12:00am

Najib berlepas pulang selepas hadiri WIEF

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF Foundation), Tun Musa Hitam; Pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi (kanan) sewaktu melancarkan program Global Entrepreneurship Community 2016 "GECommunity" peringkat antarabangsa sempena Forum WIEF ke-12 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta. - Foto Aizuddin Saad

JAKARTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas pulang selepas menghadiri acara Perundingan Tahunan ke-11 dan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12, di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berada di ibu negara Indonesia itu bagi melakukan lawatan kerja tiga harinya, bermula pada 1 Ogos lepas.

Perdana Menteri dan isteri diiringi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdana Kusuma di sini, oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri, Datin Seri Che Mahani Ismail.

Pada acara Perundingan Tahunan ke-11 itu, antara perkara yang dibincangkan termasuk yang menyentuh isu-isu semasa serta kerjasama yang sedang dan akan diadakan.

Usaha itu dilihat bertepatan pada masanya sejajar perkembangan hubungan dua hala yang memberangsangkan serta senario semasa di peringkat rantau serta global.

Bagi acara Perundingan Tahunan ke-12 tahun depan, Najib serta Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, bersetuju bahawa ia akan diadakan di Malaysia pada tarikh yang akan ditetapkan bersama kelak serta menerusi saluran diplomatik sewajarnya.

Selain itu, Najib selaku Penaung Yayasan WIEF, turut menyatakan penghargaan kepada Jokowi dan kerajaannya di atas penganjuran Forum WIEF ke-12 itu serta sokongan berterusan Indonesia terhadap WIEF.

Ini adalah kali kedua Indonesia menjadi penganjur acara itu selepas 2009.

Ia sebelum ini turut diadakan di Malaysia, Kazakhstan, Indonesia, Kuwait, Pakistan, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu.

Pada penganjuran kali ini, WIEF bertemakan 'Menyebarluaskan Pertumbuhan, Memperkasa Perniagaan Masa Depan' yang bermatlamat meneroka peranan penting perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi di serata dunia. - BERNAMA

Berita Harian X