Rabu, 3 Ogos 2016 | 9:08pm

Dunia Islam perlu kenal pasti kekuatan masing-masing - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Global Entrepreneurship Community 2016 "GECommunity" peringkat antarabangsa sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF ke-12) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta. - Foto Aizuddin Saad
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Global Entrepreneurship Community 2016 "GECommunity" peringkat antarabangsa sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF ke-12) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta. - Foto Aizuddin Saad

JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak berkata negara-negara Islam perlu menyenaraikan kejayaan dan kebolehan mereka untuk dipertimbangkan negara Islam lain.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, platform seperti Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF), berjaya menjadi wadah untuk Dunia Islam berkongsi kejayaan dan kemampuan masing-masing.

Najib berkata, dalam WIEF ke-12 di sini, beliau berkongsi kejayaan negara sebagai peneraju bidang kewangan Islam yang mana 54 peratus sukuk global diterbitkan di Malaysia.

"Ini adalah satu kejayaan. Selain itu, saya turut berikan dua contoh lain iaitu Lapangan Terbang Istanbul yang dikendalikan MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd).

"Ia muncul sebagai lapangan terbang yang mencatat peningkatan trafik penumpang terbesar di Eropah selama lima tahun berturut-turut.

"Ini adalah kejayaan dan kemampuan kita berdasarkan apa yang telah diperlihatkan itu," katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Indonesia di sini, hari ini.

Yang hadir sama dalam sidang media itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam lawatan kerja itu, Najib menghadiri sesi Rundingan Tahunan ke-11 Malaysia-Indonesia dan menghadiri WIEF.

Perdana Menteri berkata, beliau turut memberi contoh mengenai persetujuan secara prinsip oleh Indonesia memberi peluang tiga syarikat Malaysia membina 40,000 rumah mampu milik di negara itu.

"Langkah itu amat baik kerana Malaysia boleh membantu menampung keperluan penduduk dan pembangunan prasarana di Indonesia," katanya.

Tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia, Sime Darby, I&P Bhd dan SP Setia semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah firma Indonesia untuk membangunkan projek rumah mampu milik bernilai RM3.5 bilion di tapak seluas 500 hektar di Tangerang, kira-kira 80 kilometer dari bandar raya ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, hubungan baik dengan Indonesia banyak memberi manfaat kepada syarikat Malaysia terutama daripada aspek pelaburan.

Dengan pelaburan sebanyak AS$3.1 bilion pada tahun lalu, Malaysia kini adalah pelabur kedua terbesar di Indonesia.

Antara projek besar lain dilaksanakan syarikat Malaysia ialah pembinaan lebuh raya sepanjang 116.8km Cikopo-Palimanan, oleh Kumpulan UEM.

Lebuh raya itu dirasmikan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) baru-baru ini.

"Ini adalah satu contoh yang baik dan Jokowi mengakui kemampuan GLC Malaysia untuk memenuhi permintaan mereka dari segi projek kemudahan infrastruktur dan ada kemungkinan kita boleh dipertimbangkan untuk projek-projek lain dalam masa terdekat," katanya.

Dalam rundingan tahunan pertama dengan Jokowi yang disifatkan Najib sebagai sangat mesra, mereka membincangkan mengenai beberapa isu termasuk keselamatan maritim, persempadanan di Selatan Sulawesi, aspek tenaga kerja Indonesia dan penubuhan sekretariat Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di Indonesia.

Najib dan Jokowi turut menyaksikan pemeteraian perjanjian dua hala antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia di bawah kerangka ASEAN Banking Integration Framework (ABIF) supaya sistem kewangan kedua-dua negara dapat berkembang dengan teratur.

Ketika di WIEF, Najib turut mengadakan rundingan dua hala dengan pemimpin Tajiskistan, Jordan, Guinea, Sri Lanka dan Qatar.

Berita Harian X