Selasa, 2 Ogos 2016 | 4:34pm

WIEF penghubung idea, penyelesaian praktikal - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama pemimpin negara yang lain pada majlis perasmian pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 di Jakarta, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama pemimpin negara yang lain pada majlis perasmian pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 di Jakarta, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak berkata Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada idea inovatif dan penyelesaian praktikal.

Perdana Menteri berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang hadir pada forum itu kali ini adalah kumpulan yang membawa perubahan dan pemacu ekonomi.

"Bagaimanapun, saya fikir masih ada ruang di peringkat kepimpinan untuk membolehkan mereka menjadi lebih kompetitif dengan menyediakan akses lebih mudah kepada modal dan pasaran.

"Untuk merealisasikan potensi ini, saya harapkan maklum balas konstruktif daripada forum ini untuk kami lihat semula dasar-dasar supaya kami kekal menyokong pertumbuhan inklusif dan dagangan merentas sempadan," katanya dalam kenyataan bersama selepas perasmian pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 di sini, hari ini.

Pembukaan forum itu hari ini dirasmikan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Najib.

Pembukaan WIEF ke-12 juga dihadiri lima pemimpin lain iaitu Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon; Presiden Guinea, Alpha Conde; Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Shriyan Wickremenshinge dan wakil Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Jordan, Dr Jawal Al Anani.

Yang turut hadir pada WIEF kali ini yang dihadiri lebih 2,500 peserta ialah Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB), Dr Ahmad Mohamed Ali.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau juga teruja dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk membangunkan bakat, menyokong wanita dalam perniagaan, menggalakkan industri halal, kewangan Islam dan inisiatif menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Sementara itu, Jokowi, dalam ucapan perasmiannya, berkata desentralisasi pertumbuhan bagi mengupayakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah penting bagi memastikan penyertaan lebih besar masyarakat dalam arus perdana ekonomi.

Katanya, PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi Indonesia yang mana 99 peratus perniagaan di negara itu adalah PKS dengan 98 peratus didominasi syarikat mikro.

"Perniagaan berkenaan menggajikan lebih 107.66 juta rakyat dan menyumbang 60.66 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia," katanya.

Pada sampingan WIEF, Najib turut mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin Tajikistan, Guinea, Sri Lanka, Jordan dan Qatar.

Terdahulu, beliau hadir menyaksikan beberapa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Indonesia.

Berita Harian X