Isnin, 1 Ogos 2016 | 10:43pm

Malaysia, Indonesia teguhkan kerjasama menerusi Rundingan Tahunan

Najib dan Jokowi memberi kenyataan bersama selepas Rundingan Tahunan ke-11 antara Malaysia dan Indonesia di Istana Presiden di Jakarta, petang ini. - Foto Abdul Halim Yusoff
Najib dan Jokowi memberi kenyataan bersama selepas Rundingan Tahunan ke-11 antara Malaysia dan Indonesia di Istana Presiden di Jakarta, petang ini. - Foto Abdul Halim Yusoff

JAKARTA: Rundingan Tahunan ke-11 antara Malaysia dan Indonesia di sini hari ini mencerminkan kekukuhan hubungan baik kedua-dua negara menerusi kesepakatan yang dicapai berhubung beberapa isu.

Mesyuarat itu yang berlangsung di Istana Presiden, adalah yang pertama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam peringkat Rundingan Tahunan.

Dalam rundingan itu, antara yang disentuh kedua-dua negara ialah isu keselamatan maritim terutama bagi membendung kegiatan lanun dan penculikan di Laut Sulu, isu persempadanan di Selatan Sulawesi dan aspek kebajikan serta perlindungan terhadap tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia.

Turut disentuh ialah usaha meningkatkan promosi dan pemasaran minyak sawit menerusi penubuhan sekretariat Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di Indonesia serta usaha meningkatkan kerjasama ekonomi sehingga dagangan dua hala mencapai nilai AS$30 bilion (RM120 bilion) dalam beberapa tahun akan datang.

Najib berkata, beliau sangat berpuas hati dengan hasil rundingan itu yang menterjemahkan banyak hasil dan persetujuan bersama.

Najib kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Indonesia sempena Rundingan Tahunan ke-11 dan Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) bermula esok hingga Khamis.

Yang hadir sama dalam sesi rundingan itu beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Pertahanan, Menteri Perladangan dan Komoditi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Menteri Pendidikan serta Ketua Menteri Sabah.

Terdahulu, Najib dan Jokowi turut menyaksikan pemeteraian perjanjian dua hala antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia di bawah kerangka ASEAN Banking Integration Framework (ABIF) dan perjanjian penubuhan CPOPC.

Kali terakhir rundingan tahunan diadakan adalah pada 19 Disember 2013 di Jakarta sebelum pelantikan Presiden Jokowi.

Rundingan Tahunan ke-12 akan diadakan di Kuala Lumpur pada 2017.

Berita Harian X