Selasa, 19 Julai 2016 | 12:07am

Ribut petir dijangka berterusan sehingga awal pagi, esok

KUALA LUMPUR: Ribut petir dan angin kencang di perairan Melaka, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Sabah (Sandakan) dijangka berterusan sehingga awal pagi, esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web yang dikemas kini jam 10.56 malam ini melaporkan keadaan sama diramal berlaku di Perlis, Kedah, Selangor, Johor Timur dan Johor Barat.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki)," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, laporan MetMalaysia setakat 8.22 petang tadi, mengesahkan ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di beberapa negeri dijangka berterusan sehingga lewat malam ini.

Antara kawasan terbabit iaitu, Perlis, Kedah, daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; daerah Hulu Perak, Perak; daerah Pekan, Kuantan dan Jerantut, Pahang; daerah Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan; daerah Kemaman, Terengganu; daerah Kuala Penyu dan Beaufort, Sabah; Labuan; dan Limbang, Samarahan (daerah Samarahan dan Simunjan), Serian dan Kuching (daerah Kuching dan Bau), Sarawak.

Selain itu, tiada sistem Siklon Tropika dicerap di dalam kawasan pemantauan METMalaysia (Latitud: 0-20 Utara & Longitud: 95-130 Timur) sehingga 10.30 malam ini.

Berita Harian X