Isnin, 4 Julai 2016 | 5:31pm

Jaga pemakanan ketika raya - pakar nutrisi

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Perayaan Aidilfitri sinonim dengan kemeriahan kaum keluarga dan sahabat handai, tradisi bermaafan, rumah terbuka, tradisi penyalaan pelita dan juga penyediaan pelbagai makanan dan juadah yang mengandungi banyak gula dan lemak.

Sebut saja makanan, satu ungkapan yang tidak dapat dipisahkan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Semestinya, hidangan juadah Hari Raya adalah antara intipati penting dalam sambutan Aidilfitri, namun berapa ramai yang sedar akan pentingnya pemakanan secara sihat semasa musim perayaan ini?

Pakar nutrisi daripada GNC Malaysia, Kesvini Devi Ramesh, ketika dihubungi berkata tabiat makan penduduk Malaysia menunjukkan indeks tidak sihat sejak 10 tahun lalu dan ia bukan petanda yang baik bagi sesebuah negara membangun.

"Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2015, menunjukkan 30 peratus orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas mempunyai berat badan berlebihan dengan indeks jisim badan (BMI) 25 ke atas dan 17.7 peratus adalah obes dengan BMI 30 ke atas," katanya.

Kesvini turut berkongsi beberapa tip makan secara sihat yang boleh dijadikan amalan setiap masa dan khususnya pada musim perayaan.

"Kurangkan pengambilan makanan sebanyak 20 peratus, sebagai contohnya penggunaan gelas tinggi, berbanding gelas/cawan yang besar dan lebar untuk mengurangkan tabiat minum air bergula atau berkarbonat.

"Jangan lupa untuk menggunakan pinggan yang kecil untuk mengambil makanan, agar makanan nampak "banyak" biarpun dalam kuantiti yang kecil," katanya.

Pengambilan protein bagi sarapan juga adalah elemen utama kerana ia terbukti untuk menyekat selera makan yang bertambah dan berupaya mengurangkan pengambilan makanan seterusnya.

"Tabiat mengira bilangan kunyahan setiap kali suapan makanan turut membantu menegah pengambilan makanan berlebihan," kata Kesvini.

Katanya, pemilihan makanan yang kurang lemak dan gula serta makanan berserat tinggi penting bagi proses pencernaan makanan.

"Amalan pemakanan sihat bermaksud amalan yang boleh menjaga kesihatan. Dengan adanya amalan tersebut, kita akan terhindar dari sebarang penyakit yang berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X