Khamis, 23 Jun 2016 | 2:30pm

Bubur lambuk, dalca lembu 'teruna' tarikan Program Semarak Ramadan MPOB-BH

TUKANG masak, Abu Hassan Harun, 62, (kanan) dan Ibrahim Laile Chu Hamzah, 56, memasak bubur lambuk menggunakan dapur kayu sempena Program Semarak Ramadan MPOB-BH 2016 di Masjid Al-Mukhlisin, Kampung Guar Manong, Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya
TUKANG masak, Abu Hassan Harun, 62, (kanan) dan Ibrahim Laile Chu Hamzah, 56, memasak bubur lambuk menggunakan dapur kayu sempena Program Semarak Ramadan MPOB-BH 2016 di Masjid Al-Mukhlisin, Kampung Guar Manong, Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR: Bubur lambuk tradisi yang dimasak menggunakan dapur kayu antara hidangan istimewa untuk berbuka sempena Program Semarak Ramadan MPOB-BH 2016 di Masjid Al Mukhlisin, Kampung Guar di sini, hari ini.

Bagi kariah masjid berkenaan, sekawah bubur lambuk dicampur daging lembu disediakan setiap hari, namun hidangan itu lebih istimewa hari ini kerana buat kali pertama dicampur daging lembu segar yang disembelih pagi tadi, berbanding penggunaan daging sejuk beku.

Ketua Tukang Masak Masjid Al Mukhlisin, Hassan Sabbery, 63, berkata sebanyak 15 kilogram beras dan 10 kilogram daging segar digunakan bagi menyediakan bubur istimewa itu.

Katanya, menu lain disajikan adalah dalca daging, daging masak kicap dan ayam goreng berempah.

"Semua hidangan ini dimasak menggunakan dapur kayu yang pastinya menjadikan masakan lebih enak.

"Cara masak sebegini menjadikan bubur lambuk daging yang disediakan di masjid kami cukup istimewa," katanya.

Beliau ditemui ketika menyediakan hidangan berkenaan bersama beberapa pembantunya di sini, sebentar tadi.

BUBUR lambuk.
BUBUR lambuk.

Program Semarak Ramadan MPOB-BH 2016 anjuran BH dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Program diadakan bagi meneruskan hasrat Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang juga bekas Pengerusi MPOB yang berhajat mengadakan program berkenaan di kawasan Parlimennya pada Ramadan tahun ini.

Bagaimanapun, Allahyarham terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lalu.

Petang ini, waris Allahyarham dijangka turut hadir pada majlis tahlil, penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan dan berbuka.

Berita Harian X