Isnin, 20 Jun 2016 | 6:53pm

Objek bergerak tiada kaitan dengan makhluk halus

PEGAWAI syarak masjid, Zakaria Rani, 56, menunjukkan tempat penghadang kayu yang menjadi viral selepas video penghadang kayu itu bergerak sendiri. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PEGAWAI syarak masjid, Zakaria Rani, 56, menunjukkan tempat penghadang kayu yang menjadi viral selepas video penghadang kayu itu bergerak sendiri. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Laporan awal Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mendapati, struktur Masjid Jamek Tedong, Serkam, yang cenderung terdedah pada tekanan angin berbeza menjadi punca penghadang kayu beroda di masjid itu, bergerak sendiri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata papan penghadang itu diletakkan di lorong di antara dewan solat dan pejabat masjid, yang menjadi laluan angin.

"Kalau ada angin kuat yang menerjah dari sebelah kiri masjid , ia akan dihalang dengan dinding pejabat atau dewan solat dan ia (angin) akan mencari titik tekanan rendah iaitu lorong terbabit.

"Jadi, angin sudah pasti akan menujah masuk ke lorong itu dan menggerakkan papan penghadang berkenaan kerana ia ringan.

"Saya anggap teori yang digunakan JAIM ini relevan dan berharap mereka meneruskan lagi usaha melengkapkan laporan serta memuaskan hati semua pihak," katanya ketika ditemui di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang lelaki, kononnya menangkap 34 juta jin ketika melakukan lawatan dan pemantauan di masjid itu, semalam.

MASJID Jamek Tedong adalah bangunan dua tingkat yang boleh memuatkan 1,300 jemaah pada satu masa dan mula beroperasi sejak April 2016. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MASJID Jamek Tedong adalah bangunan dua tingkat yang boleh memuatkan 1,300 jemaah pada satu masa dan mula beroperasi sejak April 2016. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Sa'ad Jaafar dari Pusat Rawatan Ilahana, Rawang, Selangor mendakwa menangkap jin menyerupai monyet, yang dikatakan menggerakkan papan penghadang masjid berkenaan.

Rakaman video papan penghadang bergerak sendiri di masjid itu, menjadi viral di laman sosial, baru-baru ini.

Sa'ad turut mendakwa berdialog dengan makhluk halus itu menerusi perantara, yang juga anak lelakinya, Muhamad Uwais Al-Qarni.

Menafikan kejadian itu ada kaitan dengan makhluk halus, Idris menegaskan siasatan dilakukan JAIM bukan sahaja dari aspek rohani, malah menggunakan kaedah saintifik.

Berita Harian X