Ahad, 12 Jun 2016 | 1:23am

21 barangan harga kawalan sempena Aidilfitri - KPDNKK

HAMZAH (dua dari kanan) melihat barangan kawalan harga ketika membuat pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan peringkat kebangsaan di sebuah pasar raya di Sungai Besar, semalam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
HAMZAH (dua dari kanan) melihat barangan kawalan harga ketika membuat pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan peringkat kebangsaan di sebuah pasar raya di Sungai Besar, semalam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SUNGAI BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri di seluruh negara tahun ini.

Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kawalan itu akan berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 6 Julai ini iaitu selama 21 hari berbanding 17 hari pada tahun lalu bagi menyekat kenaikan harga tidak munasabah.

"Skim ini akan berkuat kuasa selama 20 hari sebelum hari raya, dan satu hari pada hari raya.

"Harga maksimum ditentukan bagi 21 barangan harga terkawal di sebanyak 149 daerah atau kawasan termasuk di Sarawak dan Sabah dan diharapkan pengumuman awal ini membolehkan para peniaga bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program pengumuman senarai skim kawalan harga musim perayaan bagi hari raya puasa peringkat kebangsaan di sebuah pasar raya, di sini, pada Sabtu.

Hamzah berkata, KPDNKK melalui 2,300 penguatkuasanya di seluruh negara akan melaksanakan pemantauan lebih agresif kali ini bagi memastikan rakyat dapat menyambut Aidilfitri dengan selesa.

"Kita juga telah menubuhkan 'Friend of KPDNKK' yang dianggotai orang awam sebagai 'mata-mata' membantu penguatkuasa kita membuat pemantauan di premis perniagaan," katanya.

Beliau berkata skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan denda RM100,000 dan penjara atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.

Katanya, senarai harga barangan terbabit adalah berbeza mengikut zon dan pengguna boleh membuat semakan di laman web KPDNKK di http://www.kpdnkk.gov.my.

Berikut senarai 21 barangan berkenaan:

1. Ayam hidup

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4. Telur ayam gred A

5. Telur ayam gred B

6. Telur ayam gred C

7. Daging lembu tempatan (tidak dikawal di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan)

8. Daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja)

9. Daging kerbau import (India) (tidak dikawal di Sarawak)

10. Cili merah

11. Tomato

12. Kubis bulat import (Indonesia dan China kecuali kubis Beijing)

13. Kelapa biji (dikawal peringkat borong sahaja)

14. Kelapa parut (dikawal peringkat runcit sahaja)

15. Bawang merah kecil (India)

16. Bawang putih (China)

17. Bawang besar import

18. Ubi kentang import (China)

19. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

20. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

21. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) (dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja)

- BERNAMA

Berita Harian X