Khamis, 9 Jun 2016 | 7:00pm

KUISAS bakal jadi universiti

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tiga dari kanan) bersama penerima Surat Tawaran Kemasukan Politeknik dan Wang Pendahuluan PTPTN bergambar bersama replika cek dan surat tawaran mereka yang diterima dalam majlis khas di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. - Foto Supian Ahmad

KUALA KANGSAR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), di sini kepada universiti dalam tempoh terdekat.

Katanya, hasil perbincangan itu kemudian akan dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.

"Untuk menaik taraf sesebuah kolej universiti kepada universiti memerlukan peruntukan besar dan ini perlu diambilkira, berikutan ekonomi global tidak menentu.

"Bagaimanapun, cadangan ini akan kita fikirkan," katanya kepada media selepas menyampaikan tawaran Politeknik Malaysia dan penyerahan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), di KUISAS, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas agenda calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang mahu menjadikan KUISAS sebuah universiti.

Pada majlis itu, seramai 76 pelajar di sekitar Bandar Diraja ini menerima wang pendahuluan PTPTN yang disampaikan Idris.

Idris juga berkata, seramai 23,000 pelajar baharu Politeknik di seluruh negara akan memulakan pengajian pada 12 Jun ini.

"Kita akan memastikan tiada pelajar Politeknik khususnya daripada keluarga tak berkemampuan tercicir daripada menerima PTPTN," katanya.

Berita Harian X