Jumaat, 27 Mei 2016 | 3:41pm

Pembohongan, laporan berat sebelah WSJ harus disiasat

PUTRAJAYA: Siasatan harus dijalankan ke atas Wall Street Journal (WSJ) susulan laporan berat sebelah dan hanya memihak kepada kumpulan tertentu dalam perkara membabitkan politik serta isu dalaman Malaysia.

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, dalam satu kenyataan sebentar tadi, merujuk kepada laporan palsu WSJ hari ini yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak tidak disoal siasat oleh pihak berkuasa di Malaysia.

Tengku Sariffuddin berkata, WSJ turut mendakwa siasatan yang membersihkan nama Perdana Menteri daripada salah laku itu sebagai 'dicemari oleh tekanan politik dan tidak telus'.

"Umum mengetahui dan media melaporkan secara meluas bahawa Perdana Menteri pernah disoal siasat selama beberapa jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Perdana Menteri memberi kerjasama penuh kepada penyiasat dan secara terbuka mengarahkan semua agensi kerajaan turut berbuat demikian.

"WSJ bukan sahaja mengenepikan fakta penting ini tetapi sebaliknya berbohong Perdana Menteri tidak disoal siasat. Ini menunjukkan mereka mempunyai agenda terpesong yang konsisten dengan cara laporannya mengenai Malaysia.

"Mereka (WSJ) bergantung kepada sumber yang tidak dinamakan dan tohmahan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad serta sekutunya dalam DAP termasuk komen Tony Pua dalam rencana terbarunya," katanya.

Tengku Sariffuddin berkata, pembohongan yang tidak disokong dengan bukti itu dipaparkan sebagai fakta oleh WSJ, seperti mana beberapa laporan mereka yang mendakwa Perdana Menteri melantik Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu.

Katanya, kewartawanan bermakna melaporkan berita berdasarkan sumber dan fakta yang sahih tetapi WSJ rela diperkudakan untuk propaganda seteru politik Perdana Menteri, yang secara terbuka mengumumkan hasrat untuk menggulingkan kerajaan yang dilantik secara demokratik.

Berita Harian X