Sabtu, 21 Mei 2016 | 9:32pm

12 pemancing yang dikhuatiri hilang, ditemui selamat

KOTA TINGGI: Seramai 12 pemancing yang dikhuatiri hilang sebelum ini, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat di perairan timur laut Tanjung Sedili, di sini, petang tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim, berkata semua mereka ditemui selamat kira-kira jam 6.15 petang.

Katanya, 10 kaki pancing bersama seorang tekong dan awak-awak itu ditemui selamat oleh aset udara APMM, Agusta Westland AW 139 di atas bot dinaiki mereka, kira-kira 25 batu nautika timur laut Tanjung Sedili.

"Aset laut APMM sedang digerakkan ke lokasi untuk menyelamat dan menunda bot berkenaan ke Jeti APMM Tanjung Sedili di sini yang dijangka tiba pagi nanti.

"Operasi sebelum ini yang sudah dimulakan semalam membabitkan dua bot PPM dan tiga aset APMM selain helikopter iaitu bot Pengawal 43, kapal KM Niah yang tertumpu sekitar Pulau Aur," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata lapan pemancing yang dikenal pasti identiti mereka ialah seorang anggota Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan, Lans Koperal Mohd Firdaus Jalil; Mansor Ibrahim, 63; Syaril Mohamad, 33; Muhamad Arham Salim, 24; Emran Firdaus Mohd Said, 30; Abd Rashid Saian, 44; Mohd Zaini Mohd Dekan, 50 dan Tan Seng Foo, 55.

Katanya, dua lagi pemancing dan seorang awak-awak bot belum dikenal pasti identiti mereka.

Tekong bot pula dikenali sebagai Roslan Husin, 34.

Berita Harian X