Jumaat, 20 Mei 2016 | 7:07pm

SK Bumbong Lima, sekolah rendah pertama dipasang CCTV

KEPALA BATAS: Sekolah Kebangsaan (SK) Bumbong Lima di Kepala Batas di sini, menjadi sekolah rendah pertama di Malaysia dipasang CCTV bagi mengesan dan mencegah kes salah laku disiplin murid.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, berkata sebanyak sembilan CCTV dipasang di beberapa lokasi strategik di sekolah itu dalam usaha memantau keadaan di dalam dan luar kawasan sekolah.

TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto Abdullah Yusof
TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto Abdullah Yusof

"Pemasangan CCTV itu anjuran Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) dengan sokongan Kementerian Pendidikan, dan bagi SK Bumbong Lima, pihak syarikat Talk Focus Sendirian Berhad berbesar hati untuk menyumbang kamera-kamera berkenaan.

"Saya percaya pemasangan CCTV itu akan memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak terutama sekolah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sumbangan Penyerahan CCTV SK Bumbong Lima, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya pemasangan CCTV itu turut dapat mengesan lebih awal jika berlaku sebarang masalah di dalam kawasan sekolah dan dapat melindungi keselamatan harta benda sekolah serta pelajar.

"Kami merancang lebih banyak lagi sekolah di Parlimen Kepala Batas dapat dipasang CCTV dalam usaha memantau disiplin murid dan pelajar," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Bumbong Lima Khozari Salleh berkata pemasangan CCTV itu juga dapat mendidik murid-murid sekolah mengenai pendidikan Teknologi Maklumat (ICT) kerana mereka dapat melihat bagaimana CCTV itu beroperasi memantau pergerakan warga sekolah.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memilih SK Bumbong Lima untuk dipasang CCTV, ia sesuatu yang bagus kerana dapat memantau pergerakan murid-murid serta guru di sekolah ini," katanya.

Sekolah itu mempunyai 295 murid. - BERNAMA

Berita Harian X