Ahad, 15 Mei 2016 | 11:37am

100 ahli kelab TaHa dapat anugerah

Pengerusi Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (dua dari kanan) bersama Pengurus Besar Khidmat Pelanggan TH, Mohammad Saimi Mat Som (kanan) menyampaikan replika cek penajaan Seminar Bimbingan Peperiksaan TH-BH kepada Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (tengah) di Balai Berita Jalan Riong, 11 Mei lalu. Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (dua dari kiri) dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Seramai 100 ahli Kelab TaHa yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu menerima Anugerah Kecemerlangan Kelab TaHa 2015.

Pelajar UPSR, PT3 dan SPM, masing-masing menerima wang tunai RM200, RM400 dan RM500 berserta piala dan sijil, yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Adi Azuan berkata, anugerah kecemerlangan yang menjadi acara tahunan Kelab TaHa sejak 2008 itu adalah tanda penghargaan dan motivasi berterusan kepada ahli kelab kerana mendapat keputusan cemerlang dalam pendidikan.

Katanya, pemilihan penerima dibuat berdasarkan kecemerlangan akademik, aktif dalam aktiviti kokurikulum dan program anjuran Kelab TaHa selain kerap menabung bersama TH.

"Seramai 100 pelajar itu membabitkan 50 penerima bagi kategori UPSR, 30 daripada PT3 dan 20 penerima SPM tahun lalu.

"Saya harap penerima menjadikan anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih gigih dan meningkatkan potensi diri untuk mencapai prestasi terbaik dalam bidang diceburi," katanya berucap pada majlis itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Khidmat Pelanggan TH, Mohamad Saimi Mat Som dan Pengurus Besar Operasi Pejabat Cawangan TH, Tahar Pilus.

Kelab TaHa mempunyai 1.18 juta ahli membabitkan murid dan pelajar dari seluruh negara, berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Adi Azuan berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan Kelab TaHa untuk membantu kecemerlangan akademik calon UPSR, PT3 dan SPM termasuk Seminar Bimbingan Peperiksaan BH dan kem bijak Bahasa Inggeris.

"TH menyokong usaha meningkatkan mutu pendidikan negara melalui pelbagai aktiviti pada masa depan," katanya.

Berita Harian X