Jumaat, 29 April 2016 | 10:47pm

Pekeliling baharu hadapi cuaca panas

MAHDZIR menyampaikan anugerah kepada Chan Jia Yiing pada Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan di MAEPS, Serdang, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy
MAHDZIR menyampaikan anugerah kepada Chan Jia Yiing pada Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan di MAEPS, Serdang, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy

SERDANG: Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling terbaru kepada sekolah di seluruh negara bagi menghadapi keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata garis panduan mengandungi prosedur operasi standard (SOP) yang dinaik taraf itu adalah usaha menjaga keselamatan pelajar dan murid daripada risiko seperti strok haba dan serangan haiwan berbisa.

"Kita mempunyai garis panduan sedia ada tetapi oleh kerana negara masih dilanda cuaca panas serta beberapa kes serangan haiwan berbisa, kementerian mengeluarkan SOP baharu yang perlu dipatuhi pihak sekolah.

"Antara langkah tambahan dalam pekeliling adalah keselamatan di kawasan sekolah dan kita mengesyorkan setiap sekolah mengadakan gotong-royong yang turut disertai ibu bapa.

"Kita juga mengutamakan kebajikan pelajar dengan meminta semua pengetua atau guru besar memantau keadaan sekolah termasuk aktiviti luar darjah dan penggunaan air bersih," katanya selepas Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, pekeliling Persediaan Sekolah Berhubung Penjagaan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Murid Semasa Menghadapi Cuaca Panas Kering Berpanjangan sudah diedar kepada sekolah sejak Selasa lalu.

Pada program itu, tokoh Nilam kategori bahasa Melayu peringkat sekolah rendah dimenangi oleh Khaleda Irdina Batrisya Harun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai, Dungun Terengganu manakala kategori bahasa Inggeris dimenangi Natalie Chan Jie Ying dari SK (C) Kuen Choy 2, Kuala Lumpur.

Tokoh Nilam kategori bahasa Melayu peringkat sekolah menengah pula ialah Nur Syafiqah Mohd Paris dari Kolej Tuanku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan manakala kategori bahasa Inggeris ialah Muhammed Nazhrin Faisal Sabri dari SMK Gunong Rapat, Ipoh, Perak.

Berita Harian X