Sabtu, 26 March 2016 | 5:00pm

Yarmouk jadi bandar hantu, 5,000 masih terperangkap


DAMSYIK (SYRIA) : Tiada apa yang tinggal di Yarmouk, sebuah bandar di utara Damsyik yang satu ketika dulu meriah siang dan malam, kecuali serpihan runtuhan bangunan dan barangan rumah penduduk yang bertaburan.

Jantung saya ketika berada di hadapan pintu masuk Kem Yarmouk seolah-olah terhenti melihat keadaannya yang menjadi bandar tinggal.

Kesan letupan dan peluru dapat dilihat jelas di setiap pelusuk kawasan ini.

Perasaan itu ditambah lagi dengan kelibat tentera kerajaan yang bersenjata untuk membawa saya serta rombongan kemanusiaan Aman Palestin memasuki Yarmouk.

Langkah mula diatur perlahan-lahan sambil diiringi tentera, tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut anggota rombongan kami.

Pergerakan kami di dalam Kem Yarmouk perlu sentiasa berhati-hati kerana tentera kerajaan hanya berjaya menawan satu perempat kawasan Yarmouk.

Selebihnya masih ditawan oleh puak Daesh serta pejuang pembebasan Syria.

Kami dibawa melihat kawasan Yarmouk, memasuki bangunan tinggal yang dibom serta sentiasa bergerak dalam gelap di dalam bangunan bagi mengelakkan ditembak penembak curi.

Kami juga dibawa melihat kawasan sempadan yang masih dikuasai oleh pejuang pembebasan Syria dan Daesh, hanya beberapa ratus meter dari kawasan kami berdiri.

Terbayang jika ketika kami meninjau, hinggap satu tembakan apakah nasib yang bakal menimpa.

Kami tidak dibenarkan lama di kawasan sempadan sebelum di bawa meninjau ke kawasan lain di dalam Kem Yarmouk.

Walaupun Yarmouk dianggap sebagai kem penempatan, sebenarnya ia sudah menjadi sebuah bandar kecil.

Bangunan di sini setinggi empat atau lima tingkat dengan bahagian bawah setiap bangunan adalah kedai atau pejabat manakala tingkat atas menjadi kediaman.

Yarmouk suatu ketika dulu mempunyai lima buah hospital, beberapa sekolah dan bangunan kemudahan yang lain termasuk sebuah universiti.

Yarmouk pernah dihuni seramai 1.2 juta orang terdiri daripada pelarian Palestin dan penduduk Syria sebelum konflik bersenjata bermula pada Disember 2012 di sini.

Sejak itu, penghuni Yarmouk mula melarikan diri dan yang tinggal kini hanya sekitar 5,000 orang yang masih terperangkap tanpa dibenarkan keluar oleh kumpulan pemberontak.

Pegawai tentera yang mengiringi kami memaklumkan 5,000 orang itu dijadikan sebagai "tebusan" dan benteng kepada pejuang dan Daesh bagi mengelakkan diserang tentera kerajaan.

Katanya, sudah lapan bulan penduduk yang terperangkap di kawasan itu tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

Ahli Majlis Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Dr Tolal Naji, berkata majoriti yang menghuni Kem Yarmouk adalah rakyat Palestin dan konflik bersenjata yang berlaku ini menyebabkan sekali lagi rakyat Palestin menjadi pelarian.

Beliau percaya apa yang berlaku kini adalah satu konspirasi jahat pihak tertentu yang mahu mengusir terus rakyat Palestin dari bumi Syria serta kembali berjuang membebaskan Palestin.

Katanya, sejak Disember 2012 ratusan ribu rakyat Palestin dari Yarmouk terpaksa keluar menyelamat diri dan kini kebanyakannya menjadi pelarian di bumi Eropah.

"Di Syria ada 23 juta rakyat Palestin dan selepas konflik Syria ini bermula, seramai 6 juta rakyat Palestin keluar dari Syria dan 7 juta lagi menjadi pelarian di sekitar Syria."Selebihnya masih meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Sejak konflik Syria juga, seramai tiga ribu rakyat Palestin terkorban dan mencederakan 10,000 yang lain," katanya.

Beliau turut berharap rombongan Aman Palestin dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di bumi Syria ini.

Malah untuk Kem Yarmouk juga, rombongan Aman Palestin kali ini menjadi pasukan sukarelawan antarabangsa pertama dibenarkan masuk sejak gencatan senjata bermula.

Ketika artikel ini ditulis, kami masih berbincang dengan beberapa pihak untuk membawa masuk barangan keperluan kepada 5,000 penduduk yang masih terperangkap di Yarmouk itu.

Yarmouk sangat memerlukan bantuan serta perhatian antarabangsa kerana sudah terang-terangan apa yang berlaku tidak berperikemanusiaan.

Orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang menerusi Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

SEBUAH bangunan yang musnah di Yarmouk.
SEBUAH bangunan yang musnah di Yarmouk.

Berita Harian X