PERJALANAN dengan kereta dari Beirut, Lubnan menuju ke Damsyik, Syria, sepatutnya tidak melebihi empat jam, menerusi pintu sempadan di Hanjar.
Dijadualkan memasuki Syria pada Selasa lalu, namun perjalanan terkandas di pekan sempadan itu selama 12 jam kerana misi Aman Palestin yang disertai saya, tidak diberi kebenaran melintasi sempadan pada hari terbabit.
Akibatnya, kami terpaksa menanti dalam kesejukan di pekan Hanjar yang ketika ini diselubungi suhu sekitar 18 darjah celsius sambil berdoa agar perjalanan dengan sebuah van dan pacuan empat roda itu dipermudahkan .
Menanti dalam kesejukan bukan suatu kebiasaan buat semua anggota misi ini, apatah lagi perasaan pula bercampur baur memikirkan rintangan yang bakal ditempuh selepas sempadan.
Susulan beberapa panggilan telefon dibuat petugas Aman Palestin kepada orang perantaraan di Beirut dan Damsyik, kenderaan kami akhirnya melepasi sempadan Lubnan untuk memasuki Syria pada jam 11 pagi Rabu.
Di sebelah Syria, kami disambut petugas pertubuhan bukan kerajaan, Al Wafaa European Campaign, yang menjadi perantara misi Aman Palestin di sini.
Namun, sebaik menjejaki bumi Syria, saya dapat merasai ketegangan menyelubungi persekitaran, melihatkan anggota tentera rejim Bashar lengkap pelbagai senjata, berkeliaran di sana sini sambil mata meliar mengawasi sebarang pergerakan.
Malah hati semakin berdebar apabila diminta mengelak menonjolkan status diri sebagai wartawan kerana tentera Syria dilaporkan tidak menggemari media antarabangsa. Justeru itu, untuk memudahkan urusan, saya hanya memperkenalkan diri sebagai guru yang menjadi sukarelawan misi ini.
Sepanjang perjalanan dari Hanjar ke Damsyik juga, meskipun konvoi diiringi tiga pengawal upahan masing-masing bersenjatakan raifel M16 dan pistol, kami terpaksa melalui 12 pemeriksaan ketat oleh tentera.
Selain pemeriksaan ketat yang ditempuh, di sepanjang laluan berbukit bukau dari Hanjar ke Damsyik, penulis dapat melihat tentera rejim dilengkapi kereta perisai dan penembak tepat bersedia untuk memuntahkan peluru.
Selepas menempuh perjalanan selama 90 minit dari pintu sempadan dan menghampiri kota Damsyik, perasaan gentar mulai bertukar kagum melihat penduduk bandar ini seolah-olah tidak mempedulikan konflik bersenjata yang menyelubungi negara mereka.
Bandar Damsyik kelihatan hidup seperti biasa, penduduknya bebas bersantai di taman sambil menjalankan aktiviti kegemaran selain perniagaan terus beroperasi, bagaikan tidak berada dalam situasi perang. Keadaan jalan raya juga lebih sesak berbanding Kuala Lumpur.
Terdetik di hati, adakah penduduknya sudah lali dengan kehidupan negara yang sentiasa berperang atau mereka sebenarnya menyembunyikan ketakutan.
Walaupun persekitaran kelihatan tenang tetapi rombongan Aman Palestin tetap dikawal ketat pengawal keselamatan yang muka masing-masing masam mencuka, khususnya setiap kali kami melalui lokasi sesak dengan orang ramai.
Dalam satu segi, ia bagus untuk keselamatan diri dan ahli rombongan lain tetapi sebagai wartawan, kongkongan ini merimaskan kerana penulis tidak bebas mendekati untuk menyelami isi hati penghuni Damsyik.
Selesai proses daftar masuk penginapan yang ditempah Aman Palestin di bandar ini, penulis menyertai lawatan ke sebuah kem pelarian Jaramana yang berada di bawah pemantauan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Di kem ini, saya bertemu seorang bekas peniaga Abdul Hamid, 75, yang mendiami penempatan itu sebelum keluar dari kem pelarian Yarmouk sejak Disember 2012.
"Ketika ini, pulang ke rumah ibarat mimpi yang akan hilang sebaik terjaga dari tidur," rintihnya yang terpaksa melupakan keindahan berada di kediaman sendiri kerana keadaan di Syria tidak pernah berubah sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, kehidupan keluarganya di Yarmouk dulu boleh dikatakan mewah kerana memiliki dua restoran dan tiga rumah sewa tapi kini semuanya tinggal sisa serpihan runtuhan akibat pengeboman yang dialami.
"Kami terpaksa meninggalkan Yarmouk, demi keselamatan diri yang lebih utama. Kami keluar dalam keadaan tergesa-gesa tanpa sempat membawa semua barangan, begitu juga wang simpanan. Semuanya hilang dan kini mendiami sebuah bilik di sini," katanya.
Saya sempat meninjau ruang yang didiami Abdul Hamid di situ, hanya sebuah bilik kecil berdindingkan kanvas, yang dihuni bersama isteri, anak dan cucunya seramai tujuh orang.
Kem Jaramana yang didiami kira-kira 200 keluarga, asalnya sebuah sekolah sebelum diguna bagi menempatkan pelarian dari Yarmouk dan ditempatkan bawah kawal selia UNHCR.
Di kem ini, misi Aman Palestin yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut, mengagihkan kira-kira 150 kotak makanan asas kepada keluarga pelarian terpilih di situ bagi meringankan penderitaan mereka.
Kira-kira 2,000 kotak makanan asas sudah disiapkan oleh Aman Palestin untuk agihan kepada keluarga pelarian sekitar Damsyik.
Media tempatan melaporkan, pengangguran di Damsyik meningkat lebih 50 peratus dan kedatangan penduduk yang melarikan diri dari Yarmouk, memburukkan keadaan di bandar ini.
Konflik yang menyelubungi menyaksikan bekalan elektrik turut dicatu setiap hari, menyebabkan kebanyakan peniaga dan hotel terpaksa bergantung kepada generator.
Kedaifan hidup pelarian di Kem Jaramana menyebabkan ramai anak-anak mereka buta huruf akibat keciciran persekolahan. Mujur ada pelajar universiti seperti Nada Al Kilani, 23, berketurunan Palestin, yang terpanggil menjadi sukarelawan di bawah UNHCR untuk mengendalikan kelas khas di situ.
"Saya gembira kerana dapat membantu mereka. Saya lahir di Syria dan membesar tanpa banyak kesengsaraan seperti saudara mara di Palestin. Inilah masa untuk saya membantu mereka yang memerlukan," kata gadis manis itu.
Sejurus menyiapkan artikel ini, penulis bersiap untuk memulakan hari kedua menerokai kehidupan pelarian sekitar Damsyik dengan harapan dapat memasuki kem Yarmouk yang masih terkepung ekoran konflik bersenjata di antara rejim Bashar dan pemberontak.
Orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.