Rabu, 16 March 2016 | 9:44pm

PM puji pencapaian 38 tahun PNB

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Warisan Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini. - FOto Mohd Shahril Badri Saali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Warisan Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini. - FOto Mohd Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memuji pencapaian yang diraih Permodalan Nasional Bhd (PNB) setakat ini yang mana kewujudannya secara tidak langsung membantu menstruktur ekonomi dan sosio rakyat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, pencapaian PNB setakat ini memberi makna besar terhadap pencapaian negara demi kesejahteraan rakyat, malah penubuhannya juga membolehkan anak Bumiputera meneraju, mengurus dan menjalankan operasi perniagaan dalam pelbagai sektor serta bidang ekonomi terpenting negara.

"Seperti sedia maklum, PNB diberi mandat membantu kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat menerusi pemilikan saham dalam syarikat strategik negara.

"PNB kini melabur di dalam 200 syarikat pelaburan dalam pelbagai bidang ekonomi yang mana ia memberi peluang kepada profesional Bumiputera untuk mengurus syarikat strategik negara, yang juga secara tidak langsung adalah milik rakyat," katanya pada majlis pelancaran Projek Warisan Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Najib berkata, syarikat di bawah PNB melabur dalam pelbagai sektor ekonomi utama seperti perkhidmatan kewangan dan insurans, automotif, perladangan, hartanah, logistik dan infrastruktur, farmaseutikal dan kimia, perindustrian dan peralatan, tenaga, minyak dan gas, pembuatan serta kejuruteraan.

Dengan strategi kepelbagaian dalam pelaburan, katanya, kumpulan pengurus dana terbesar negara itu berjaya mengimbangi dan meminimumkan risiko pelaburannya.

Beliau berkata, ini membolehkan PNB membayar agihan pendapatan dan bonus pada kadar kompetitif sepanjang lebih 30 tahun walaupun dalam situasi ekonomi tidak menentu serta mencabar.

"Walaupun PNB ditubuhkan dengan mandat untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera, atas semangat perpaduan, unit amanah PNB turut diperluaskan untuk langganan masyarakat bukan Bumiputera.

"PNB yang akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-38 esok telah berjaya menggembleng lebih 200 bilion unit amanah, hasil pelaburan rakyat Malaysia, daripada pelbagai kaum dan bangsa," katanya.

Perdana Menteri Najib juga gembira menyaksikan portfolio hartanah PNB terus berkembang maju dengan lebih 50 pelaburan hartanah di dalam negara serta enam pelaburan hartanah di luar negara.

Pada pelancaran Projek Warisan Merdeka, hartanah milik PNB, Najib juga melancar dan menamakan menara ikonik 118 tingkat yang dibangunkan pada fasa pertama projek itu sebagai Merdeka PNB118.

Warisan Merdeka adalah projek pembangunan bercampur yang dibangunkan dalam tiga fasa membabitkan keluasan tanah 7.6 hektar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024.

Berita Harian X