Rabu, 16 March 2016 | 11:32am

Rakyat Malaysia sesak nafas dalam penerbangan selamat kembali

HATHIJAHTUL ditemani anaknya, Asina Bee Abdul Bari (kanan) selamat tiba di tanah air pagi tadi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
HATHIJAHTUL ditemani anaknya, Asina Bee Abdul Bari (kanan) selamat tiba di tanah air pagi tadi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Seorang rakyat Malaysia, Hathijahtul Kubura Abdul Kabur, 68, yang dirawat di Hospital Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akibat sesak nafas sejak Ahad lalu selamat tiba di tanah air pagi tadi.

Hathijahtul ditemani anaknya, Asina Bee Abdul Bari, 51, tiba pada jam 8.23 pagi menaiki pesawat Emirates dari Dubai.

Ketika ditemui, Hathijahtul berkata, beliau amat bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke tanah air selepas terpaksa tinggal beberapa hari di Dubai bagi mendapatkan rawatan.

Menceritakan kejadian ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur Ahad lalu, Hathijahtul berkata beberapa orang dalam penerbangan itu tiba-tiba batuk tanpa henti, sebelum beliau sendiri yang menghidap asma batuk dan sesak nafas.

"Saya mengalami kesukaran bernafas dan kakitangan penerbangan datang memberikan bantuan alat pernafasan. Mujurlah dalam penerbangan itu ada seorang doktor dan beliau segera memberi pertolongan," katanya.

Hathijahtul yang berasal dari Pulau Pinang dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mahani Muda, 50, dari Kuala Pilah, dirawat di Hospital Dubai sejak Ahad lalu selepas mengalami sesak nafas ketika dalam penerbangan dari Jeddah, Arab Saudi ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Asina berkata beberapa orang dalam penerbangan itu tiba-tiba mengalami masalah pernafasan dan tidak sedarkan diri.

"Kejadian itu berlaku tidak sampai sejam penerbangan kami berlepas dan menyebabkan pesawat terpaksa membuat pendaratan di Dubai.

"Saya menemani ibu selama tiga malam di hospital dan Alhamdulillah, keadaannya sudah pulih. Ibu turut diberikan surat rujukan oleh doktor untuk mendapatkan pemeriksaan susulan di sini nanti," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kedutaan yang banyak membantu mereka ketika di hospital.

Berita Harian X