Rabu, 9 March 2016 | 5:11pm

Malaysia masih selamat walau Riau dilanda jerebu

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Malaysia masih selamat daripada jerebu yang melanda Riau di Sumatera ketika ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata mengikut laporan kajian yang diterima daripada Jabatan Meteorologi, negara masih bebas daripada masalah jerebu kerana setakat ini tiada angin yang menjurus ke arah Malaysia.

"Namun kita akan mengambil langkah berjaga-jaga selain menghantar surat susulan kepada kerajaan Indonesia bagi cadangan menandatangani perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Indonesia mengenai jerebu seperti yang kita cadangkan pada Julai 2015.

"Kita sudah hantar sembilan surat termasuk satu surat peribadi daripada saya. Tak ada satu pun jawapan dan ulasan yang diterima daripada kerajaan Indonesia dan kementerian Indonesia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Malaysia sebelum ini optimis untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bilateral mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dengan Indonesia menjelang hujung tahun lepas, namun belum direalisasikan sehingga kini.

MoU itu sebaik saja berkuat kuasa, akan membuka jalan bagi kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara dalam menangani asap yang berlaku saban tahun.

Jakarta semalam mengisytiharkan Riau sebagai kawasan darurat Wilayah Riau, ekoran kebakaran hutan dan ladang di Sumatera, yang semakin merebak.

Dalam pada itu, mengulas cadangan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) agar kerajaan pusat menaikkan royalti minyak kepada Sarawak daripada lima peratus kepada 20 peratus, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menyifatkan cadangan itu pada masa ini adalah tidak realistik selain bertujuan menghasut dan melaga-lagakan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

"Apa yang DAP buat hanya menghasut kerajaan negeri untuk membawakan perkara-perkara yang mungkin kerajaan negeri sendiri tidak fikir berpatutan.

"Jadi siapa mereka untuk memberitahu ketua menteri Sarawak bagaimana untuk mengurus dan mentadbir negeri, beliau lebih tahu daripada dia dan saya. Ini hanya menghasut sahaja, suruh buat satu longkang pun mereka tidak buat," katanya.

Chong ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini mengulangi gesaan supaya Putrajaya menaikkan bayaran royalti minyak kepada Sarawak sehingga 20 peratus. - BERNAMA

Berita Harian X