Selasa, 8 March 2016 | 9:11am

Syor majikan sertai 2U2I diberi pengecualian cukai

Datuk Shamsuddin Bardan
Datuk Shamsuddin Bardan

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memberikan insentif dalam bentuk pengecualian cukai kepada majikan yang terbabit program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2U2I) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mulai September ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata ia adalah sebagai ganjaran kepada majikan kerana sanggup memberikan elaun sara hidup kepada pelajar yang menjalani latihan amali di bawah program 2U2I.

Katanya, kerajaan juga wajar membenarkan majikan menggunakan dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi memberi elaun kepada pelajar universiti yang menyertai program terbabit.

Beliau berkata, ia perlu kerana ketika ini tidak semua majikan mencarum dengan dana HRDF dan hanya mereka yang berdaftar dengan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp Malaysia) diberikan pengecualian cukai pendapatan syarikat oleh kerajaan.

"MEF berharap pemberian insentif dalam bentuk pengecualian cukai akan menggalakkan lebih ramai majikan di negara ini tampil menyediakan tempat latihan amali kepada pelajar yang mengikuti program 2U2I.

"Kita harap langkah ini bukan hanya dapat meningkatkan kualiti, malah memastikan graduan tempatan mampu bersaing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan serta kehendak majikan di negara ini," katanya kepada BH di sini, ketika mengulas cadangan KPT, kelmarin, untuk memperkenalkan program 2U2I di beberapa universiti di seluruh negara, mulai September depan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh dipetik sebagai berkata, penuntut di universiti itu akan menjalani latihan bekerja dalam beberapa bidang dikenal pasti selama dua tahun, seterusnya mengikuti pengajian selama dua tahun.

Ketika ini dianggarkan lebih sejuta majikan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuk 650,000 aktif mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shahrul Nazmi Sannusi, berpendapat program 2U2I bukan hanya mampu menambahkan kemahiran pelajar, malah boleh meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memperhalusi bidang yang berpotensi untuk diketengahkan menerusi program ini.

"Kementerian juga perlu mengkaji semula sistem jam kredit kerana sesetengah kursus sekarang lebih memberi penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas berbanding latihan industri," katanya.

Berita Harian X