Selasa, 8 March 2016 | 1:07am
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT)
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT)

Kerajaan wajar beri insentif majikan sertai 2U2I

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memberikan insentif dalam bentuk pengecualian cukai kepada mana-mana majikan yang terbabit dengan program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2U2I) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mulai September ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata ia adalah sebagai balasan kepada majikan yang sanggup memberikan elaun sara hidup kepada pelajar menjalani latihan amali di bawah program 2U2I, nanti.

Shamsuddin berkata, kerajaan juga patut memberi pertimbangan supaya majikan boleh menggunakan dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi untuk memberi elaun kepada pelajar universiti yang menyertai program terbabit.

Katanya, ia perlu kerana ketika ini tidak semua majikan mencarum dengan dana HRDF dan hanya mereka berdaftar dengan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp Malaysia) sahaja yang diberikan pengecualian cukai pendapatan syarikat oleh kerajaan.

"MEF berharap pemberian insentif dalam bentuk pengecualian cukai berkenaan akan menggalakkan lebih ramai majikan di negara ini tampil menyediakan tempat latihan amali kepada pelajar yang mengikuti program 2U2I, nanti.

"Kita berharap langkah ini bukan hanya dapat meningkatkan kualiti, malah memastikan graduan dilahirkan universiti tempatan mampu bersaing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan dan kehendak majikan di negara ini," katanya kepada BH di sini.

Ketika ini dianggarkan terdapat lebih sejuta majikan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuk 650,000 aktif mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Shamsuddin berkata demikian ketika mengulas pengumuman, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kelmarin yang bercadang memperkenalkan program 2U2I di beberapa universiti di seluruh negara mulai September depan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh dipetik sebagai berkata, penuntut di universiti itu akan menjalani latihan bekerja dalam beberapa bidang dikenal pasti selama dua tahun, seterusnya mengikuti pengajian selama dua tahun.

Berikutan itu, Shamsuddin mencadangkan supaya program 2U2I diperluaskan ke semua universiti awam dan swasta di seluruh negara supaya ia memberi manfaat kepada lebih ramai graduan di negara ini.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Shahrul Nazmi Sannusi, berkata beliau melihat program 2U2I berkenaan bukan hanya mampu menambahkan kemahiran pelajar, malah boleh meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan, pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memperhalusi mengenai jenis bidang yang berpotensi untuk diketengahkan dalam program ini.

"Kementerian juga perlu mengkaji semula sistem jam kredit kerana sesetengah kursus sekarang lebih memberi penekanan kepada kelas berbanding latihan industri," katanya.

Berita Harian X