Ahad, 21 Februari 2016 | 1:34pm

Saya rasa tak sedap hati - Isteri tekong bot

BOT APMM dalam perjalanan melakukan operasi menyelamat sekumpulan pemancing yang dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Payar. - Foto Zuliaty Zulkifli
BOT APMM dalam perjalanan melakukan operasi menyelamat sekumpulan pemancing yang dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Payar. - Foto Zuliaty Zulkifli

KUALA KEDAH: Isteri kepada tekong bot membawa pemancing yang dikhuatiri hilang di Pulau Payar dekat ini, mengakui berasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi suaminya sejak Khamis lalu.

Rosmawati Mat, 40, mulai gusar apabila telefon bimbit suaminya, Zamidi Meeson, 42, tidak dapat dihubungi sehingga malam tadi.

Katanya, Zamidi keluar dari rumah mereka di Kampung Seberang Kota kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu tetapi tidak mengetahui bila kumpulan itu turun ke laut.

"Dia beritahu mahu membawa sekumpulan kaki pancing ke Pulau Payar dan itu kali terakhir kami berbual sebelum dia keluar ke laut.

"Setiap kali saya cuba menghubunginya, telefon bimbitnya berada di luar kawasan liputan," katanya ketika ditemui di Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, hari ini.

Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia antara 6 hingga 16 tahun.

Sementara itu, selepas 12 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, pihak berkuasa belum menemui objek atau petunjuk penemuan 15 kaki pancing yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dinaiki dilaporkan karam, malam tadi.

Ketua Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor, berkata keadaan ombak setinggi antara dua hingga tiga meter (m) menyukarkan operasi pencarian kira-kira 19 batu nautika dari sini.

Beliau berkata, sebuah lagi aset dihantar untuk membantu pencarian menggunakan pesawat Agusta AW139 untuk melakukan pemantauan dan pencarian di lokasi.

"Usaha mengesan mereka giat dilakukan," katanya di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X