Sabtu, 13 Februari 2016 | 4:31pm

MUET diteruskan - Idris Jusoh

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berucap di Program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Soaring Upwards di Dataran DABS, Kampus Gong Badak, UniSZA . - Foto Aswadi Alias
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berucap di Program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Soaring Upwards di Dataran DABS, Kampus Gong Badak, UniSZA . - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), walaupun banyak keluhan daripada beberapa pihak mengenai ujian berkenaan yang didakwa akan menjejaskan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ini kerana sistem pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini semakin baik, malah terbukti mendapat pengiktirafan dari negara luar.

Beliau berkata, pandangan segelintir pihak bahawa MUET menjejaskan peluang ramai pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke universiti adalah tidak benar dan meleset sama sekali.

"Pandangan itu tidak tepat kerana kita lihat sekarang penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita semakin baik.

"Malah, apabila kerajaan mula meningkatkan aras kelayakan MUET untuk kemasukan ke universiti, kita lihat pencapaian mereka bertambah baik.

"Kita akan terus gunakan MUET dan pelajar ini jika diberi lebih galakan dan pendedahan, mereka mampu memberi yang lebih baik lagi," katanya selepas merasmikan program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi Negara (KPTN): 'Soaring Upwards' di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib serta Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Berita Harian X